Pelaksanaan Strategi

Pelaksanaan strategi

Keberkesanan strategi tertakluk kepada kualiti pelaksanaannya. Secara mudah, pelaksanaan strategi pun kena dirancang agar hasilnya dapat dilihat di dalam masa yang munasabah.

Oleh yang demikian, setiap pelan tindakan perlu kepada orang atau kumpulan yang dipilih sebagai juara strategi yang akan diberikan tanggungjawab untuk melaksanakannya di dalam tempoh masa yang tertentu. Mereka hendaklah dinilai dari segi kemampuan, kepimpinan dan juga kedudukan di dalam perniagaan.

Struktur organisasi juga perlu dikaji dan dinilai semula dengan pengenalan strategi perniagaan yang baharu. Ini adalah kerana struktur yang sedia ada mungkin tidak menyokong fungsi atau proses baharu yang kritikal di dalam pencapaian strategi baharu. Satu prinsip yang penting ialah organisasi disusun untuk menampung strategi, bukannya untuk mengadakan jawatan kepada orang yang mendudukinya.

Ada kalanya strategi baharu memerlukan ahli pasukan yang mempunyai kemahiran yang khusus yang belum ada di dalam perniagaan. Oleh itu keputusan perlu diambil bagi membolehkan kemahiran berkenaan diadakan samada dengan membawa masuk ahli pasukan yang baharu atau pun mendapatkannya melalui kaedah lain seperti melantik perunding atau pun penasihat dari luar. Perkara ini biasanya dibincangkan bersama dengan pihak yang menguruskan modal insan di dalam perniagaan bagi mempastikan proses pemantapan ahli pasukan ditambah baik sesuai dengan keperluan strategik yang baharu.

Di dalam kebanyakan keadaan, pelaburan di dalam aset-aset strategik baharu mungkin diperlukan. Ini berkait dengan meningkatkan keupayaan perniagaan untuk menjana nilai di dalam bidang yang sedia ada atau pun menambah kemampuan di dalam bidang yang baharu. Aset-aset ini boleh jadi aset fizikal mahu pun aset intelektual. Kaedah bagaimana aset ini diadakah akan bergantung pula kepada model perniagaan yang diguna pakai di dalam strategi terkini.

Kesemua perkara-perkara di atas memerlukan dana yang cukup untuk membiayai pelbagai perkara yang ada di dalam pelan tindakan. Ini juga memerlukan perancangan teliti kerana kesemua perniagaan akan ada kekangan dari segi modal dan dana. Ini termasuk menyusun tempoh bagi mengadakan aset-aset baharu berdasarkan keperluan strategik dan juga kewujudan dana yang membiayainya. Kesemua ini perlu diambil kira di dalam bajet tahunan yang merangkumi bagaimana strategi yang dirangka akan dibiayai setiap tahun.

Pelaksanaan strategi memerlukan sokongan dari kesemua ahli pasukan, bukan hanya difahami dan dilaksanakan oleh pemimpin dan pengurusan kanan saja. Kesemua warga perniagaan perlu difahamkan berkenaan peranan yang perlu mereka mainkan dan sasaran yang perlu mereka capai. Ini memerlukan kepada pelan komunikasi yang komprehensif disediakan dan dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan strategi.

Selain dari itu, seperti yang dinyatakan di atas, mereka perlu dberikan sokongan dari segi sumber seperti kewangan dan kuasa yang sepadan dengan peranan yang akan dimainkan oleh mereka.