Pelaburan Di Dalam Aset-Aset Strategik

Aset secara am ialah sesuatu yang akan menjadi aliran nilai di masa hadapan. Jika kita ada barangan untuk dijual, ianya adalah aset kerana apabila dijual, ada tunai yang akirnya dibawa masuk ke dalam perniagaan. Mesen yang digunakan untuk mengeluarkan produk adalah aset kerana ia boleh mengeluarkan produk yang kemudiannya dijual.

Aset yang dibeli untuk dijual semula nilainya lebih kepada mendapatkan jualan bagi menghsilkan keuntungan. Di dalam masa yang sama ada aset-aset yang diperolehi (acquire) untuk membina kapasiti perniagaan untuk menjana nilai secara yang lebih meluas.

Jenama adalah satu aset tak zahir. Mengapa ianya dikira sebagai aset? Jenama yang bagus di mata pelanggan akan menyebabkan pelanggan membeli produk-produk yang dijual. Apabila berlaku krisis dan nilai jenama terhakis, mungkin jumlah pelanggan yang membeli produk yang dijual oleh perniagaan menjadi berkurangan.

Aset-aset zahir seperti kilang, mesin, alatan teknologi maklumat dan lain-lain lagi membolehkan keupayaan perniagaan menjana nilai meningkat. Cuma, tempoh penjanaan nilai itu lebih panjang berbanding dengan barangan yang dihasilkan untuk dijual. Disebabkan jangka masa itu, nilai aset-aset ini akan turun naik berdasarkan perubahan-perubahan yang berlaku di dalam dan di luar perniagaan. Oleh yang demikian perolehan aset-aset janka panjang dianggap perolehan strategik yang perlu dibuat dengan penuh berhati-hati.

Biasanya perolehan aset-aset jangka panjang perlu dijustifikasikan berdasarkan pulangan yang dibawa masuk oleh aset-aset ini. Oleh kerana aset-aset jangka panjang ini ada pelbagai sifat dan memainkan peranan yang berbeza, kaedah penilaian pulangannya pun berbeza. Ada yang mana pulangannya mudah dikira dan ada yang pulangannya hanyalah anggaran semata-mata. Macamana nak kira pulangan ke atas pelaburan di dalam penjenamaan?

Aset jangka panjang biasanya dibiayai oleh pelaburan jangka panjang juga. Ini bertujuan untuk mempastikan operasi harian perniagaan tidak terjejas dengan kekurangan modal pusingan. Sebagai contoh, pembelian kilang baharu dibiayai melalui pembiayaan jangka panjang dari bank atau pun penambahan modal yang khusus untuk tujuan berkenaan. Jika pembelian kilang dibiayai dengan wang dari hasil jualan harian, jumlah modal pusingan akan merosot dan perniagaan boleh terjejas.

Oleh yang demikian, perolehan atau pembelian aset strategik jangka panjang perlu dinilai dengan kaedah yang berbeza dan dibiayai dengan kaedah yang paling bersesuaian juga. Pendekatan ini penting bagi membolehkan nilai perniagaan ditingkatkan dan operasi perniagaan menjadi semakin efisyen.