Oleh kerana skop kerja dan peranan seorang CEO itu luas, dia perlu mempunyai asas-asas ilmu yang luas juga. Di dalam masa yang sama, setiap bidang ilmu sentiasa berkembang dan ini memerlukan seorang CEO itu turut memperbaharui dan menambah ilmu sejajar dengan keperluan organisasi yang diterajui.
Bagi laman ini, ruang lingkup ilmu yang akan dibincangkan adalah seperti rajah berikut:

Mana-mana organisasi, terutamanya organisasi perniagaan, perlu menjana nilai kepada pihak yang berurusan dengan mereka. Ada yang mendapat dan menikmati nilai secara lansung seperti pelanggan dan pembekal dan ada yang mendapat nilai secara tidak lansung seperti badan kawalselia yang bertanggungjawab membangunkan dan menyelia industri berkenaan. Orang yang kualiti kehidupan mereka disebabkan aktiviti perniagaan juga perlu diambilkira.
Kita namakan kesemua pihak yang tersentuh oleh perniagaan sebagai pihak yang berkepentingan. Golongan ini perlu dikenal pasti kerana mereka boleh mempengaruhi operasi dan pencapaian perniagaan berdasarkan sejauh mana mereka ada kuasa dan pengaruh ke atas perniagaan, secara lansung atau tidak lansung.
Pengurusan perniagaan merangkumi perkara-perkara yang perlu dirancang, dilaksanakan dan berjalan dengan sempurna bagi mempastikan proses penjanaan nilai berjalan dengan baik. Ianya merangkumi perkara-perkara seperti strategi, pemasaran, proses, insan, kewangan dan pematuhan.
Tadbirurus pula ialah sistem dan proses yang digunapakai di dalam perniagaan agar pengurusan pernigaan dijalankan dengan baik, nilai yang dijana mencapai matlamatnya dan risiko diurus ketahap yang ditetapkan. Oleh yang demikian, tadbiurus merangkumi konsep pengawasan, peranan dan struktur, pengurusan risiko, kawalan dalaman, jaminan dan budaya di dalam perniagaan.
Setiap perniagaan dijalankan oleh manusia dan memerlukan kepimpinan yang efektif agar matlamat perniagaan serta visinya tercapai. Ini perlu dipamirkan oleh usahawan yang menjadi pendokong utama perniagaannya. Di antara ciri-ciri penting yang perlu ada kepada seorang pemimpin ialah keupayaan, amanah, komitmen, kepercayaan, kuasa dan komunikasi.
Di dalam perniagaan yang diperbadankan dan mempunyai identiti perundangan yang tersendiri seperti syarikat terhad yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat, pengarah-pengarah memainkan peranan supaya kesemua perkara-perkara di atas digembeling ke arah yang telah ditetapkan. Mereka kena menetapkan nada dari atas agar tala pengurusan dan hentakan kaki pekerja bawahan akan menjana nilai yang menjadikan syarikat sebuah perniagaan yang lestari.
Ketiga-tiga aspek ini juga perlu diberi perhatian bagi usahawan yang menggunakan jenis entiti perniagaan yang berlainan termasuk enitit yang susunaturnya lebih mundah dan ringkas. Konsep-konsep yang akan dibincangkan di dalam buku ini boleh dilaksanakan dengan kaedah yang lebih mudah, bersesuaian dengan susunatur yang tidak kompleks tersebut. Yang penting, prinsip dan matlamatnya tercapai dengan kadar usaha yang munasabah.
Walaupun model yang digunakan sebagai asas ilmu ini lebih tertumpu kepada satu perniagaan, ianya turut merangkumi keperluan organisasi-organsasi lain yang lebih memfokuskan kepada kepentingan awam dan kepentingan pihak yang disasarkan. Apa yang cuba disampaikan di sini ialah konsep di sebalik topik-topik yang dibincangkan dan konsep-konsep ini masih boleh digunapakai di dalam organisasi yang tidak menumpukan kepada keuntungan.
Perbincangan di sini boleh keluar dari skop di atas berdasarkan keperluan dan realiti semasa. Apa yang dikongsikan di atas hanyalah satu gambaran kasar kepada ilmu-ilmu yang diperlukan bagi seorang CEO di dalam menjalankan amanah yang dipikul. Kedalaman ilmu yang berkaitan boleh berbeza berdasarkan jenis, saiz kompleksiti organisasi.
Anda boleh mendapatkan penerangan berkenaan topik-topik penting di dalam kepimpinan, pentadbiran dan pengurusan perniagaan di pautan di bawah: