Bimbingan CEO
Seorang CEO atau pun usahawan datang dari pelbagai latar belakang. Apabila dia menduduki kerusi CEO atau pun apa-apa jawatan lain yang mempunyai fungsi yang sama, keperluan untuk mencari ilmu, membina kemahiran dan melatih minda agar menjadi CEO yang berkesan menjadi semakin mendesak.
Oleh kerana CEO merupakan pegawai eksekutif yang tertinggi di dalam perniagaan, dia boleh berasa sunyi dan sukar untuk berkongsi cabaran dengan anak buahnya. Di antara jalan keluar ialah dengan adanya pembimbing yang membolehkan CEO berkongsi apa yang ada di dalam kepalanya dengan yakin dan percaya.
Pembimbing bukannya seorang pengajar tetapi lebih kepada seorang penunjuk jalan. Dia boleh melontarkan pelbagai idea tetapi CEO kena bertanggungjawab untuk berusaha dan bekerja keras bagi membina kekuatan di dalam dirinya sendiri. Konsep ini amat penting untuk difahami. Di akhir proses bimbingan, CEO kena mampu berdiri di atas kaki sendiri di dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan.
Di dalam membimbing, perlu ada proses yang jelas berkenaan apa yang perlu dilakukan oleh CEO bagi mencapai hasil yang disasarkan. Bimbingan bukannya sekadar cakap-cakap di kedai kopi dan CEO boleh melupakan apa yang dikongsikan oleh pembimbing berkenaan. CEO kena balik dan buat kerja rumah. Inilah yang membezakan di antara bimbingan dan perbualan sambil meminum kopi.
Menerima tanggungjawab sebagai pengelola perniagaan adalah perkara utama yang perlu diterima oleh seseorang CEO. Banyak pihak lain di dalam dan diluar perniagaan yang bergantung kepada kemampuan CEO mendorong perniagaan ke tahap yang lebih cemerlang. Ini boleh menjadi tempat bermulanya bimbingan.
Kemudian seorang CEO kena mampu mempastikan arah yang mana perniagaan mahu disasarkan. Di dalam perkara ini, strategi perniagaan adalah di bawah tanggungjawab seorang CEO dan dia kena mampu mengendalikan pelbagai perkara yang berkait dengan pembentukan strategi.
Strategi yang hebat, jika tidak dilaksanakan, tidak akan membawa perniagaan ke mana-mana. Ini bermakna seorang CEO kena mampu membina perniagaan berdasarkan asas-asas utama strategi dan memimpin ahli pasukan yang lain agar mereka juga menyumbang kepada kejayaan perniagaan.
Pesan Marshall Goldsmith yang merupakan seorang pembimbing kepimpinan (leadership coach) yang tersohor “kepimpinan adalah sukan yang memerlukan bertembungan badan”. Ini bermakna, seseorang CEO yang juga adalah pemimpin perniagaan perlu selesa bertembung dengan realiti ahli pasukan dan juga pelbagai pihak berkepentingan yang ada di sekeliling perniagaan.

Saya kira pengalaman saya di pelbagai jenis perniagaan dan institusi dan di pelbagai kedudukan dari pengasas, CEO, ahli lembaga pengarah, Pengerusi dan juga Pengerusi Eksekutif boleh dikongsikan bagi membantu CEO-CEO yang mahu menambah potensi dan keberkesanan masing-masing. Sertifikasi sebagai pembimbing (coach) dari Marshall Goldsmith membolehkan saya membantu CEO-CEO yang mahu dibimbing.
Kehendak dan kemahuan untuk menambah baik diri sebagai seorang CEO adalah pra-syarat yang terpenting. Di samping itu, CEO yang mahu dibimbing itu perlu ada daya untuk berubah dan melakukan sesuatu yang baharu dan berhenti dari mengulangi tabiat-tabiat lama. Ini semua memerluka keazaman yang tinggi dan usaha yang berterusan.

CEO yang berada di bawah bimbingan saya akan diasuh untuk membina minda dan keupayaan di dalam pengelolaan, strategi, pembinaan perniagaan, hubungan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dan menjadi pemimpin yang efektif.
Pendekatan bimbingan saya mudah sahaja:
- Menetapkan objektif-objektif bimbingan
- Mempersetujui kaedah bimbingan termasuk kekerapan interaksi
- Mengenalpasti usaha dan ikhtiar yang perlu dilakukan oleh CEO di bawah bimbingan
- Menetapkan petunjuk-petunjuk yang berkaitan dengan pencapaian
- Membincangkan hasil yang didapati secara berkala
- Memberi maklum balas yang boleh dipertimbangkan oleh CEO
Kerja dan usaha yang membawa kepada keberhasilan yang dikehendaki kena dibuat oleh CEO itu sendiri. Sebagai pembimbing saya hanya menunjuk jalan dan memberikan pandangan. Anda kena bina kekuatan dalaman yang membolehkan anda berjaya tanpa menoleh kepada sesiapa.
Tempoh bimbingan minima ialah 6 bulan dan boleh diperpanjangkan sekiranya dikehendaki oleh CEO. Bimbingan boleh diulang-ulang dengan skop yang berbeza-beza. Ini akan menjadikan CEO lebih berupaya di dalam banyak perkara yang penting bagi dirinya.
Bayaran bimbingan ditetapkan lebih awal berdasarkan tempoh bimbingan dan dibayar mengikut persetujuan di kedua-dua belah pihak. Anggaplah ini sebagai pelaburan yang akan menjadikan CEO lebih efektif dan perniagaan lebih berdaya saing.
Anda juga boleh melanggan saluran Bimbingan CEO bagi menonton video-video terbaharu yang berkaitan dengan bimbingan CEO di lapangan.
Sesiapa yang berminat untuk membincangkan bagaimana saya boleh membimbing anda sebagai CEO bolehlah menghubungi saya melalu borang di bawah