Pengurusan Strategi

Pengurusan strategi adalah dimensi pengurusan perniagaan yang amat penting kerana ianya melibatkan kejelasan berkenaan mengapa perniagaan diwujudkan, apa yang ia mahu capai dan bagaimana mahu mencapainya. Semakin besar sebuah perniagaan, semakin penting strateginya diperjelaskan agar ianya difahami oleh ahli pasukan dan lain-lain pihak yang ada tanggungjawab untuk mencapai sasaran-sasaran strategik yang telah ditetapkan.

Pengurusan strategi boleh dibahagikan kepada 3 proses utama:

  • Pembentukan strategi
  • Pelaksanaan strategi
  • Penilaian strategi

Pembentukan strategi

Sebelum strategi perniagaan dibentuk, kedudukan sebenar perniagaan, persekitaran perniagaan yang ada dan apa yang memacu perubahan di dalam industri yang diceburi perlu difahami. Ini akan mempastikan strategi yang bakal dibentuk sesuai dengan kemampuan perniagaan dan realiti yang dihadapinya.

Secara kasar, perubahan di dalam masyarakat, teknologi, ekonomi, alam dan peraturan akan memberi kesan ke atas perniagaan, bekalan dan persaingan di dalam industri. Tahap kematangan industri dan kemasukan pesaing dengan model perniagaan yang tidak disangka-sangka akan membuat industri terganggu dan kaedah berniaga boleh berubah. Oleh itu pemacu perubahan perlu sentiasa dipantau dan respon yang selayaknya perlu ditentukan bagi menjamin keutuhan perniagaan.

Sesebuah perniagaan perlu memilih elemen-elemen persaingan mana akan memberikan mereka kelebihan ke atas pesaing dan meletakkan produk di segmen pasaran yang dipilih. Ini membolehkan pelanggan membezakan apa yang ditawarkan berbanding dengan pesaing-pesaing yang ada. Oleh yang demikian, keupayaan berinovasi merupakan di antara faktor utama yang membolehkan elemen-elemen persaingan diwujudkan di dalam produk yang ditawarkan.

Memilih segmen pasaran dan kategori produk adalah satu perkara penting di dalam membentuk strategi. Ini membolehkan perniagaan fokus kepada pembeli dan pelanggan yang ada di dalam segmen berkenaan dan membentuk tawaran dan solusi yang khusus kepada mereka. Pengkhususan ini juga membolehkan pembezaan dibuat berbanding dengan apa yang ditawarkan oleh pesaing.

Di akhir proses pembentukan strategi, reka bentuk strategi dan model perniagaan akan ditetapkan sebagai kaedah untuk membawa perniagaan ke arah yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan strategi

Keberkesanan strategi tertakluk kepada kualiti pelaksanaannya. Oleh yang demikian, setiap pelan tindakan perlu kepada orang atau kumpulan yang dipilih sebagai  juara yang akan melaksanakannya di dalam tempoh masa yang tertentu. Mereka juga perlu diberikan sumber dan alatan yang cukup.

Ada kalanya strategi baharu memerlukan ahli pasukan yang mempunyai kemahiran yang khusus yang belum ada di dalam perniagaan atau pun aset dan lain-lain alatan yang membantu. Ini semua memerlukan dana yang cukup diagihkan kepada perkara-perkara yang membolehkan strategi dilaksanakan dengan berkesan.

Ini memerlukan sokongan dari kesemua ahli pasukan, bukan hanya difahami dan dilaksanakan oleh pemimpin dan pengurusan kanan saja. Mereka perlu difahamkan berkenaan peranan yang perlu mereka mainkan dan sasaran yang perlu mereka capai. Selain dari itu, seperti yang dinyatakan di atas, mereka perlu dberikan sokongan dari segi sumber seperti kewangan dan kuasa yang sepadan dengan peranan yang akan dimainkan oleh mereka.

Penilaian strategi

Sejauh mana strategi telah dilaksanakan dan kesan perlaksanaan hendaklah sentiasa dinilai dengan menggunakan indikator prestasi utama yang ditetapkan terlebih dahulu semasa strategi dirangka. Ini memberikan usahawan kefahaman berkenaan tahap pencapaian dan usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi memacu perniagaan ke arah visi yang mahu dicapainya. 

Indikator prestasi utama boleh jadi berbentuk kewangan atau pun bukan kewangan bergantung kepada kaitan indikator-indikator berkenaan dengan strategi atau pun lain-lain maksud yang diwakili oleh mereka. Ini menjadikan penetapan indikator pencapaian sebagai satu perkara penting kerana banyak sumber yang akan digunakan untuk mengutip dan menilai indokator-indikator berkenaan.

Dapatan dari penilaian strategi hendaklah digunakan untuk menambah baik strategi yang ada agar ianya lebih berkesan. Ada kalanya, isu yang dihadapi bukanlah strategi itu sendiri tetapi pelaksanaan strategi yang tidak mantap atau pun andaian-andaian yang menjadi asas strategi tidak menjadi seperti yang diharapkan. Memahami apa yang perlu ditambah baik ini penting agar punya isu itu ditangani, bukannya tanda-tandanya sahaja.


Sila rujuk Pusat Strategi Minda CEO bagi mendapatkan maklumat-maklumat berkenaan strategi perniagaan yang lebih komprehensif.