Platfom rujukan bagi membantu anda menjadi CEO yang efektif
Siapakah dia seorang CEO itu?
Apakah maknanya Chief Executive Officer atau pun CEO itu? Kalau diterjemahkan secara mudah, ianya ialah Ketua Pegawai Eksekutif. Ini bermakna, dia berada di kedudukan tertinggi dari segi eksekutif di dalam perniagaan atau mana-mana organisasi lain. Di bawah CEO itu ada orang-orang lain yang bertanggungjawab untuk menjalankan pelbagai fungsi perniagaan dengan berkesan. CEO perlu di dalam kebanyakan keadaan bekerja melalui orang-orang ini bagi menerajui perniagaan ke destinasi yang telah ditetapkan.
Seorang CEO bertanggungjawab untuk membawa perniagaan ke destinasi yang sudah dipersetujui oleh pihak lembaga pengarah atau mana-mana pihak lain yang mempunyai kedudukan seumpamanya. CEO menjadi penghubung di antara lembaga pengarah dengan pengurusan serta warga organisasi yang lain dan juga pihak luar yang saling ada kepentingan. Dia seharusnya mampu untuk meyakinkan pihak-pihak yang mempunyai pelbagai pandangan dan kepentingan untuk fokus kepada kejayaan bersama melalui kejayaan perniagaan yang dikongsi bersama.
Sudah tentu satu keperluan utama sebagai seorang CEO ialah memahami konsep perniagaan itu sendiri. Apa yang ditawarkan kepada pelanggan, bagaimana model bisnesnya, apakah tahap perkembangan perniagaan di kala ini, apa yang memacu perubahan di dalam pasaran? Ini adalah di antara perkara-perkara asas yang perlu difahami oleh seorang CEO sebelum dia merancang dan mengatur langkah untuk membawa perniagaan yang diuruskannya ke tahap yang lebih cemerlang.
Walaupun tidak semestinya seorang CEO mempunyai ilmu dan kemahiran teknikal yang bersepadan dengan operasi perniagaan, dia tidak boleh berasa asing dengan perkara-perkara teknikal yang menjadi asas kepada operasi dan pernjanaan nilai perniagaan berkenan.
Anda akan mendapat gambaran yang lebih menyeluruh berkenaan amanah serta tanggungjawab CEO serta bagaimana dia berfikir dan melaksanakan tuntutan amanahnya di dalam pelbagai bab seterusnya yang dibicarakan di platfom ini.

Pendekatan Platfom Minda CEO
Di samping perbincangan berkenaan minda seorang CEO, kemahiran-kemahiran sokongan yang perlu turut dikongsikan juga. Kemahiran-kemahiran ini akan membantu CEO untuk melaksanakan tanggungjawabnya di dalam mentadbir, mengurus dan memimpin perniagaan yang diterajuinya.
Di dalam masa yang sama, seorang CEO perlu kepada pelbagai struktur dan alatan sokongan yang membantunya untuk melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul. Sturktur sokongan ini perlu diwujudkan oleh CEO itu sendiri bagi manfaat dirinya, ahli pasukannya dan juga perniagaan secara keseluruhannya.
Perbincangan berkenaan ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu ada kepada seorang CEO dipecahkan seperti berikut:
- Minda-minda asas seorang CEO yang merangkumi kepercayaan dan persepsi diri beliau sebagai seorang insan;
- Asas-asas ilmu yang perlu dikuasai berdasarkan kepada jenis, saiz dan kompleksiti perniagaan yang diterajui;
- Kemahiran yang pelbagai yang harus dimiliki bagi menghadapi pelbagai cabaran yang ada;
- Alatan yang membantu dan menyokong seorang CEO di dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan; dan
- Nilai-nilai yang harus dipegang agar CEO dapat memimpin dan mempengaruhi warga organisasi dan pihak berkepentingan secara positif.
Anda akan mendapati banyak konten-konten yang ada memfokuskan kepada persoalan-persoalan “Apa dan Mengapa” (What and Why). Ini adalah kerana saya berpandangan untuk menguasai ilmu dengan baik, prinsip dan asasnya perlu difahami dengan mantap. Kemudian barulah ilmu berkenaan boleh diaplikasi di dalam pelbagai keadaan yang ditempuhi oleh perniagaan yang pastinya berubah-ubah.
Bagi konsep-konsep dan perkara-perkara yang memerlukan penerangan yang lebih terperinci, perkara-perkara berkenaan akan dihubungkan dengan perbincangan yang lebih khusus melalui pautan yang disediakan. Oleh yang demikian, pengguna platfom ini perlu mengikuti pautan-pautan berkenaan untuk membolehkan mereka mendapat penerangan lanjut berkenaan konsep dan perkara penting itu. Pautan-pautan berkenaan dizahirkan dengan tulisan tebal, italic dan bergaris bawah.
Terdapat juga pelbagai video-video pendek yang disediakan yang membolehkan pengguna-pengguna platfom mendapat penerangan diharapkan akan meningkatkan kefahaman mereka berkenaan dengan isu-isu yang terkandung di dalam video-video berkenaan.
Platfom ini adalah satu platfom yang dinamik yang mana konten-konten yang membincangkan isu-isu terkini akan ditambah dari masa ke semasa. Oleh yang demikian, adalah penting bagi pengguna platfom melanggani platfom ini agar mereka akan dimaklumkan berkenaan dengan konten-konten terbaharu berkenaan.
Satu sikap penting untuk membina keupayaan sebagai seorang CEO ialah kemahuan untuk belajar secara berterusan. Platfom ini dibentuk berdasarkan sikap ini. Oleh itu penggunanya perlu juga mencari ilmu di tempat lain dan sentiasa terbuka untuk menguruskan perbezaan pandangan dan juga pendekatan. Pilihlah yang mana yang dirasai lebih kuat hujahnya dan lebih kukuh asasnya.
Keterbatasan konten
Platfom ini bukanlah paltfom serba tahu. Perlu diingatkan di sini bahawa ada 3 perkara yang menyebabkan perkara-perkara yang dikongsikan di sini ada keterbatasannya:
- Kontennya adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, maka tentunya pengalaman dan pemerhatian orang lain ke atas perkara yang sama boleh berbeza
- Tidak ada kajian akademik menyeluruh yang telah dibuat walaupun ada banyak perkara-perkara yang disentuh di sini adalah amalan perniagaan yang dimaklumi
- Ada topik yang disebut secara berulang-ulang kerana ianya ada pelbagai perspektif apabila disebut di dalam bab-bab yang berbeza
Tidak kesemua idea-idea yang saya kongsikan merupakan idea dari saya semata-mata. Ada yang saya ambil dari sumber-sumber lain tetapi telah disesuaikan dengan situasi dan keadaan yang saya tempuhi di dalam kerjaya saya sebelum ini. Jadi, saya menyampaikan perkara-perkara itu berdasarkan kefahaman dan pendekatan yang saya telah ambil di ketika itu.
Sukar bagi saya untuk mengingati kembali sumber-sumber rujukan saya sebelum ini secara terperinci. Namun, saya mengiktiraf dan berterima kasih kepada semua pihak samada individu mahu pun organisasi yang secala lansung atau tidak lansung membolehkan saya berkongsi pengalaman dan pandangan di platfom ini.
Adalah diharapkan anda akan mengambil maklum akan pelbagai keterbatasan di atas agar anda menjadi adil di dalam menilai apa yang dikongsikan di platfom ini.
Penambahan secara progresif
Oleh kerana perniagaan adalah dinamik, banyak isu-isu dan cabaran-cabaran baharu yang akan muncul yang perlu dihadapi oleh seorang CEO. Bagi membolehkan laman ini menjadi relevan, pandangan dan idea terbaharu akan dikongsikan secara progresif di blog yang ada di muka hadapan laman ini. Di mana sesuai, konten baharu ini akan dihubungkan dengan konten statik yang berkenaan.
Semoga konten di dalam platfom ini membantu anda menjadi seorang CEO yang cemerlang di dalam menanggung amanah untuk mentadbir, mengurus dan memimpin perniagaan yang anda terajui.
