Nilai-nilai yang dibincangkan di sini adalah prinsip atau pun piawaian yang digunapakai yang ada di dalam jantunghati seorang CEO di dalam membuat keputusan-keputusan yang berkaitan dengan tanggungjawab beliau di dalam menerajui organisasi. Ini penting kerana di dalam setiap keputusan akan ada kepentingan dan juga risiko yang pelbagai.
Prinsip dan piawaian yang ada di dalam jantunghati seorang CEO boleh terbentuk di sepanjang kehidupan beliau. Ini termasuk pengaruh masyarakat, keluarga, para sahabat dan juga kumpulan-kumpulan yang disertai oleh CEO itu. Tidak dinafikan agama, kepercayaan dan adat juga memainkan peranan di dalam membentuk prinsip dan piawaian yang digunakan oleh CEO.
Walaupun pada kebiasaannya prinsip dan piawaian dikaitkan dengan nilai-nilai positif seperti jujur, amanah dan mengelakkan keburukan, namun jika CEO dipengaruhi oleh prinsip dan piawaian yang salah seperti membiasakan rasuah dan salahguna kuasa, keputusan-keputusan yang dibuat oleh beliau akan merosakkan organisasi.
Oleh itu perbincangan berkenaan nilai ini akan merangkumi isu-isu etika dan moral yang ada di dalam masyarakat yang boleh membantu CEO menjadi seorang peneraju yang efektif atau pun sebaliknya.
Bacaan sokongan:
Tadbir Urus dan Nilai: Bila seorang ahli syurga semak harta seorang ahli syurga yang lain