Budaya

Secara mudah, budaya boleh ditakrifkan sebagai “bagaimana sesuatu perkara biasa dilakukan di dalam mana-mana organisasi”. Ini merupakan apa yang sebenarnya diamalkan, bukan apa yang ditulis di atas kertas atau budaya yang terpampang di dinding-dinding pejabat.

Contohnya, jika seorang pelanggan datang membuat aduan kerana tidak puas hati dengan perkhidmatan yang diterima, bagaimanakah aduan tersebut dilayan? Ada yang akan melayan dengan baik walaupun apa yang diadu itu mungkin kesilapan pelanggan manakala ada yang akan buat tak peduli sahaja dan memberitahu pelanggan supaya menulis aduan secara rasmi.

Budaya yang baik boleh mengurangkan risiko dan memperkukuhkan jenama perniagaan manakala budaya yang sebaliknya akan menyebabkan pelanggan lari kepada perniagaan yang lain dan kebarangkalian untuk perkara buruk berlaku menjadi lebih tinggi.

Dari segi kawalan dalaman pula, peranan budaya juga penting. Ada pekerja yang akan mengikut saja arahan dari orang atas tanpa membantah walaupun ianya salah. Yang sepatutnya, jika seorang pekerja berasa arahan tersebut tidak betul tu salah, dia perlu berani berdepan dengan orang yang memberi arahan atau ada proses lain yang disediakan supaya dia boleh merujuk dan mendapat penjelasan dari pegawai yang lebih kanan.

Siapakah yang mencorakkan budaya? Ini satu perkara yang berubah dari satu perniagaan ke perniagaan yang lain. Ada perniagaan yang mana pemimpin dan pengurusnya secara sedar mahu mencorakkan budaya tertentu yang membantu untuk mencapai matlamat syarikat. Ini dilakukan melalui kempen, tindakan dan kaedah bagaimana imbuhan diberi kepada pekerja.

Sebaliknya, ada juga perniagaan yang membiarkan pekerja mereka membentuk budaya sendiri tanpa bimbingan dan panduan dari atas. Ini tentunya akan menjejaskan jenama dan persepsi pihak luar ke atas perniagan tersebut jika budaya berkenaan tidak sesuai dengan kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan yang lain.

Oleh yang demikian, perniagaan yang mahu menjadi lestari perlu membentuk budaya yang bersesuaian walaupun memakan masa yang panjang. Membiarkan budaya dibentuk tanpa arah tuju yang jelas akan membawa mudarat ke atas perniagaan di dalam jangka panjang.

Ada dua perkara penting yang mencorakkan budaya:

Suasana di dalam dan di sekeliling syarikat: Pekerja yang bekerja dengan perniagaan di bandar-bandar besar lebih fokus kepada isu perniagaan berbanding dengan pekerja yang berada di lokasi yang lebih terpencil. Ini adalah kerana suasana luar yang lebih tinggi tekanannya dari pelbagai aspek termasuk kos kehidupan dan persaingan untuk jawatan akan memberi kesan kepada jantunghati perkerja supaya mereka lebih fokus kepada pencapaian. Sebaliknya, suasana yang lebih santai akan menjadikan pekerja lebih menumpukan kepada apa yang penting di dalam suasana berkenaan seperti kualiti kehidupan.

Asuhan: Ini boleh berlaku secara formal atau secara perlahan-lahan. Apa yang dipentingkan oleh pengarah dan pengurusan kanan akan menjadi tumpuan orang bawah. Jika perniagaan mementingkan keuntungan tanpa mengira bagaimana ianya dicapai, mesej ini akhirnya akan membentuk budaya yang tidak mengendahkan perbuatan salah asalkan ianya membawa keuntungan dan pulangan yang lumayan kepada ahli pasukan berkenaan. Bagi perniagaan yang lebih mementingkan nilai dan peradaban, ahli pasukannya akan lebih peka untuk melakukan apa yang sepatutnya walaupun kurang membawa keuntungan.

Budaya mana-mana perniagaan akan mempengaruhi masa depan perniagaan berkenaan. Tak kiralah banyak mana sistem dan proses yang ada, jika budaya tidak kisah sudah berleluasa, kesilapan dan kesalahan akan dibiarkan begitu sahaja. Budaya yang cemerlang akan menggalakkan ahli pasukan untuk sentiasa mencari peluang untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan dan pihak yang berkepentingan. Perniagaan mana yang boleh bertahan lama agakknya?