Kemahiran yang mengukuhkan kemampuan
Kemahiran ialah keupayaan untuk menggunakan ilmu-ilmu yang ada untuk menambah nilai ke atas perniagaan. Kemahiran digunakan di dalam setiap aspek pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan yang dipengaruhi oleh kematangan perniagaan yang ada serta cabaran-cabaran yang dihadapi di dalam pasaran. Kemahiran juga dipengaruhi oleh pengalaman CEO berkenaan.
Oleh yang demikian, kemahiran yang diperlukan oleh seorang CEO di dalam menerajui perniagaan adalah pelbagai dari segi skop dan juga kedalaman. Ini adalah kerana peranan CEO itu sendiri akan sentiasa berubah mengikut keadaan dari seorang pemimpin kepada pentadbir, pengurus, kawan dan lain-lain peranan lagi yang diperlukan.
Membuat keputusan yang tepat pada ketika yang berkenaan adalah satu kemahiran yang perlu dimiliki oleh mana-mana CEO. Oleh kerana kedudukannya di dalam hiraki perniagaan, dia kena membuat keputusan di atas perkara-perkara yang berada di dalam bidang kuasanya. Teragak-agak di dalam membuat keputusan akan memudaratkan perniagaan.

Kemahiran yang diperlukan bukan terhad kepada kemahiran untuk diri sendiri tetapi termasuk juga kemahiran yang melibatkan interaksi dengan ahli pasukan serta pelbagai pihak yang berkepentingan yang lebih luas. Ada kemahiran yang mungkin sudah dibina dari awal kerjaya CEO dan ada juga kemahiran yang perlu dibentuk semasa CEO sudah menduduki kerusi panasnya.
Di dalam kumpulan perniagaan yang besar-besar, seorang CEO kena membina kemahiran untuk menguruskan struktur yang lebih kompleks. Mungkin di bawahnya ada beberapa orang CEO atau tokoh-tokoh lain yang perlu merujuk kepada CEO kumpulan. Ini merupakan satu aspek yang akan menimbulkan cabaran kerana faktor-faktor keperibadian mula menjadi satu cabaran utama.
Walaupun kedudukan CEO itu biasanya datang dengan kuasa-kuasa tertentu, di dalam banyak keadaan dia kena mencapai matlamat perniagaan melalui keupayaannya untuk mempengaruhi orang lain. Ini mungkin kerana dia tidak berkuasa ke atas pihak berkenaan atau pun di ketika menggunakan pengaruh lebih berkesan dari kuasa. Ini juga adalah satu kemahiran yang amat tinggi nilainya.
Berada di puncak sebagai seorang CEO juga ada cabaran-cabaranya yang tersendiri. Ianya boleh jadi satu jawatan yang sunyi kerana tidak semua beban yang ditanggung oleh CEO boleh dikongsikan tanpa had denga ahli-ahli pasukan yang lain. Oleh itu seorang CEO perlu mampu untuk menangani aspek ini untuk terus maju ke hadapan di dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul itu.