Perniagaan yang kian membesar perlu distrukturkan dengan teliti supaya bukan sahaja dapat diuruskan dengan berkesan tetapi menggunakan sumber perniagaan dengan optimum.
Di dalam masa yang sama, perniagaan kita mungkin nampak peluang di dalam sektor perniagaan yang baharu dan mahu menceburinya. Ini mungkin memerlukan usahasama dengan pihak ketiga yang mempunyai kepakaran atau pun boleh membuka pasaran.
Sebagai salah satu kaedah pengurusan risiko, sesetengah perniagaan perlu diasingkan dari perniagaan yang lain secara undang-undang. Ini adalah kerana, bila diasingkan, sebarang kerugian dan tuntutan undang-undang akan terhad kepada perniagaan berkenaan dan tidak berjangkit kepada perniagaan yang lain. Inilah sebab utama mengapa anak-anak syarikat ditubuhkan.
Bila anak syarikat berkembang, ia mungkin perlu diuruskan secara bersendiri dan memerlukan lembagan pengarah dan pengurusan yang berbeza dari perniagaan yang asal. Ini juga mungkin syarat jika jika mengadakan usaha sama dengan pihak lain. Selain dari itu, jenis perniagaan yang berbeza memerlukan kemahiran dan kepakaran yang bersesuaian dengan perniagaan itu dan ini mungkin tidak ada di dalam perniagaan asal.
Bila ada pelbagai jenis perniagaan dan anak-anak syarikat, maka timbulah cabaran-cabaran baharu kepada usahawan yang berperanan sebagai CEO untuk mentadbir, mengurus dan memimpin kumpulan anak-anak syarikat ini. Di antara isu-isu yang mungkin timbul adalah:
- Halatuju dan strategi. Siapakah yang menetapkannya dan bagaimana ianya dilaksanankan?
- Pengurusan. Adakah pengurusan masih bergantung kepada perniagaan asal atau terus terpisah dan mempunyai otonomi yang luas?
- Kewangan. Sejauh mana syarikat/perniagaan induk perlu memberi sokongan dan apakah syarat-syaratnya?
- Proses dan tatalaku operasi. Sejauh mana ini perlu dikoordinasikan dengan syarikat induk?
- Pemasaran dan jualan. Adakah ini perlu dirancang dan dilaksanakan secara berpusat?
- Penjenamaan. Bagaimana kumpulan anak-anak syarikat perlu dijenamakan supaya usaha pemasaran dan jualan dioptimakan.
- Konflik. Bagaimana percanggahan pendapat dan kepentingan harus diselesaikan?
Bergantung kepada jenis perniagaan dan keperluan operasi serta kewangan, akan ada banyak lagi isu-isu yang perlu diuruskan apabila kumpulan anak syarikat semakin besar. Oleh itu gaya pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan CEO kena disesuaikan dengan kehendak kumpulan ini.
Sebenarnya tidak ada satu formula khusus di dalam mengendalikan anak-anak syarikat. Ada kumpulan perniagaan yang memusatkan kuasa di perniagaan asal dan anak-anak syarikat diuruskan sama seperti jabatan dan unit perniagaan yang lain.
Ada pula yang lebih liberal dan anak-anak syarikat diberikan kebebasan untuk menjalankan perniagaan tanpa banyak kawalan berpusat. Kaedah yang dipilih seharusnya bermatlamatkan keberkesanan perniagaan dan membawa kebaikan kepada semua pihak.
Walau apa kaedah yang dipilih, perlu ada proses pelaporan yang membolehkan CEO mengetahui perjalanan anak-anak syarikat dan pandangan serta arahannya diminta jika anak-anak syarikat mahu membuat keputusan yang besar-besar. Jika hubungan di antara anak-anak syarikat dan perniagaan induk putus, CEO akan menghadapi cabaran untuk mempastikan kesemua anak-anak syarikat berjalan seperti yang dirancang.
Jika anak syarikat dibeli dari orang lain, perlu diadakan proses integrasi di antara anak syarikat yang baharu ini dengan kaedah pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan kita. Biasanya yang paling mencabar ialah integrasi budaya. Perkara ini perlu diberikan perhatian oleh CEO agar tambahan perniagaan ini membawa manfaat yang maksima kepada kumpulan perniagaan.
Sekiranya cukup besar, bolehlah diwujudkan satu unit khusus untuk menyelia anak-anak syarikat. Unit ini bertanggungjawab untuk mempastikan anak-anak syarikat melaksanakan strategi yang dipersetujui dan dijalankan seperti yang dikehendaki oleh perniagaan induk. Walau bagaimana pun, CEO perlu juga mewujudkan hubungan yang baik dengan kepimpinan dan pengurusan anak-anak syarikat agar dia memahami perkembangan anak-anak syarikat dengan lebih dekat.
Bila kumpulan perniagaan sudah membesar, usahawan yang berfungsi sebagai CEO kena juga menambahkan ilmu dan kemahiran untuk mengurus perniagaan yang bertambah kompleks. Kemahiran delegasi menjadi semakin penting dan keupayaan untuk mempengaruhi akan menjadi lebih kritikal berbanding dengan menggunakan kuasa. Tambahlah ilmu dan kemahiran agar pembesaran kumpulan syarikat benar-benar bermanfaat.