Seorang ketua mana-mana organisasi atau institusi perlu sentiasa bersedia membuat keputusan pada ketika yang diperlukan. Ini termasuk keputusan “di antara hidup dan mati” yang amat sukar kerana risiko membuat keputusan yang salah amat tinggi dan boleh menbawa padah kepada organisasi dan orang lain.
Oleh kerana seorang CEO adalah pemimpin tertinggi di dalam perniagaan yang diterajuinya, mahu tidak mahu, dia kena membuat keputusan pada ketika yang diperlukan. Satu masalah yang saya nampak ialah bila ada CEO yang teragak-agak atau mahu mengelakkan diri bila tiba saat genting itu.
Di dalam perniagaan, tentunya ada perkara-perkara besar yang kita boleh jangka dan ada juga perkara-perkara berkenaan yang kita tak boleh jangka. Misalnya kita boleh jangka pesaing akan mengeluarkan produk untuk memasuki pasaran kita tetapi kita tidak boleh menjangka datangnya pendamik seperti Covid-19 yang dihadapi seperti sekarang ini. Selepas ini, pendamik akan menjadi satu senario yang akan diambilkira di dalam apa-apa perancangan, bukan lagi satu perkara luar jangka.
Bila seorang CEO sudah memahami perniagaannya dengan baik, tahu selok belok industri dan pasaran serta perkara-perkara yang boleh mempengaruhi perniagaannya, dia boleh menjangka keputusan-keputusan besar serta tindakan yang perlu diambil bila perlu menghadapi perkara-perkara berkenaa. Apa yang penting ialah memahami perkara-perkara demikian dengan terperinci, kesannya ke atas perniagaan, risiko yang mungkin wujud dan pilihan-pilihan yang ada dan akibat dari setiap pilihan.
Walaupun di dalam keadaan biasa, perniagaan kita tidak menghadapi perkara-perkara sedemikian, namun ianya tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Seorang CEO kena dapatkan maklumat secara berkala berkenaan perkara-perkara besar itu dan sentiasa bersedia untuk membuat keputusan dengan pilihan-pilihan yang ada. CEO boleh memain-main andaian-andaian dan senario di dalam kepalanya supaya dia lebih bersedia.
Kita ambil satu contoh mudah, perkara besar yang boleh memberikan kesan kepada syarikat, rasuah. Ini adalah jenayah yang susah untuk dibasmi di kalangan masyarakat walaupun ramai orang Islam dan Islam mengharamkan segala bentuk rasuah. Rasulullah SAW telah mengesahkan pihak yang memberi dan menerima rasuah akan masuk neraka.
Mungkin secara prinsip, perniagaan kita sudah menetapkan tidak akan membayar rasuah walaupun satu sen. Bagaimana, di dalam keadaan ekonomi yang sukar kita dipaksa untuk membayar rasuah bila kita hampir-hampir mendapat projek yang besar yang boleh menyelamatkan perniagaan kita? Saya tidak berhasrat untuk memberikan apa-apa cadangan tetapi pilihan bila berlaku perkara demikian boleh ditetapkan awal-awal lagi sebelum ianya terjadi. Bila tiba masanya, seorang CEO kena membuat keputusan dengan penuh yakin walaupun dia mengetahui risikonya.
Satu lagi contoh keputusan besar ialah bagaimana perniagaan harus menghadapi pelbagai kejutan di ketika kita menghadapi pendamik Covid-19. Buka tutup ekonomi, pelbagai SOP, ketidak tentuan bekalan, pasaran yang terjejas dan pelbagai isu lagi. Mungkin pada enam bulan pertama kita semua masih terkejut dan meraba-raba.
Namun, kita kena perhatikan apa yang telah berlaku dan dari situ kena wujudkan beberapa senario yang mungkin berlaku serta apa tindakan perniagaan kita bagi setiap senario. Tetapkan tindakan sebelum senario-senario itu menjadi kenyataan. Bila salah satu darinya muncul, kita boleh membuat keputusan sengan cepat kerana kita sudah membuat persediaan awal.
Perniagan bukan berjalan di atas garis lurus. Perjalanannya bengkang bengkok. Oleh itu persediaan untuk menghadapi apa yang kita tidak sangkat boleh membantu CEO membuat keputusan besar pada ketika yang diperlukan.
Mengapa membuat keputusan pada ketikanya penting? Ada pelbagai sebab. Di antaranya:
- Masa mungkin sesuatu yang kritikal (time is the essence), jika terlewat membuat keputusan, keputusan yang betul pun mungkin sudah tidak bermakna.
- Memberi kejelasan kepada pasukan kepimpinan kita dan juga pihak-pihak berkepentingan di luar. Ini akan memudahkan mereka membuat keputusan masing-masing.
- Jika keputusan itu tinggi risikonya, kita sudah boleh fokus kepada menguruskan risiko bila keputusan sudah dibuat. Melenggah-lenggahkan keputusan boleh meningkatkan kesan ke atas perniagaan.
Bersedialah untuk membuat keputusan besar semasa keadaan masih aman, jangan panik dan menjadi tak tentu hala bila perang sudah bermula.