Kemahiran lahir dari ilmu dan pengalaman yang ada pada seseorang pemimpin sepadanan dengan industri, model perniagaan, strategi yang diterima pakai dan ahli pasukan yang ada di dalam pernigaan berkenaan. Secara amnya, kemahiran boleh dibahagi kepada 3 kumpulan:
Kemahiran teknikal
Kemahiran pengurusan
Kemahiran kepimpinan
Di peringkat yang paling asas di dalam mana-mana organisasi, kemahiran teknikal amat penting. Inilah kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti asas perniagaan seperti pengeluaran dan penjualan serta kemahiran di dalam bidang sokongan seperti perakaunan dan pematuhan. Kemahiran perseorangan seperti menyelesaiankan masalah, komunikasi dan pemikiran kreatif penting di dalam menangani cabaran-cabaran harian di dalam perniagaan yang dipimpin.
Bila seseorang ahli pasukan mula mempunyai tanggungjawab ke atas beberapa orang ahli pasukan yang lain, kemahiran pengurusan mula menjadi semakin penting. Ini merangkumi kemahiran merancang dan melaksanakan tugasan-tugasan yang menjadi tanggungjawab menerusi ahli-ahli kumpulan. Pemimpin bukan sahaja perlu mengagihkan tugasan tetapi menyelia perlaksanaannya sehingga matlamat yang diharapkan dicapai.
Kemahiran yang tertinggi ialah kemahiran kepimpinan yang mana usahawan perlu menggerakkan kesemua ahli kumpulannya ke satu arah seperti yang telah ditetapkan di dalam strategi perniagaan. Ini termasuk menanam nilai-nilai organisasi yang mencorakkan budaya perniagaan. Seorang pemimpin perlu memenangi hati dan perasaan ahli kumpulannya dan dihormati berdasarkan pencapaian dan mutu kepimpinan yang diserlahkan.
Pemimpin juga perlu mempercayai dan menyerlahkan nilai-nilai yang baik yang tentunya akan diperhati dan ditiru oleh pengikut. Jika mana-mana organisasi mahu nilai-nilai seperti integriti, jujur dan amanah menjadi budaya, ianya perlu bermula dari atas. Lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif perlu menhidupkan nilai-nilai tersebut di dalam setiap keputusan dan langkah yang mereka ambil.
Oleh kerana dunia sentiasa berubah, usahawan yang memimpin perniagaan perlu juga sentiasa memperbaharui ilmu mereka dan diamalkan di dalam perniagaan supaya akhirnya mahir dengan ilmu yang baru itu.