Menghadapi Cabaran Berada Di Puncak

Jika kita melawat ketua-ketua mana-mana organisasi, biasanya bilik mereka besar-besar. Mungkin kerana ramai tetamu yang berkunjung dan perlu mengadakan perbincangan dengan orang-orang dalaman. Harapnya saiz bilik mereka bukanlah sebagai simbol kedudukan semata-mata dan memisahkan mereka dari realiti sebenar berkenaan apa yang mereka tadbir, urus dan pimpin itu.

Walaupun secara amnya seorang CEO dikehendaki bertemu dengan pelbagai jenis manusia dari dalam dan luar perniagaan, dia boleh terasa sunyi bila berseorangan di dalam biliknya. Sunyi bukan dari perspektif dia tidak ada kawan yang ramai tetapi boleh jadi kerana kesibukan tugas dan juga memikirkan beban yang dipikul dia tidak sempat untuk berinteraksi dengan rakan-rakannya. 

Kadang-kadang, berseorangan juga membolehkan CEO bertenang sebentar sebelum mengharungi jadualnya yang padat. Peluang ini amat penting bagi seorang CEO kerana dia perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara yang penting dan besar, walaupun ianya tidaklah begitu mendesak.

Mungkin kita sudah biasa dengan pembahagian isu-isu yang perlu ditangani:

  1. Yang penting dan mendesak
  2. Yang penting tetapi tidak mendesak
  3. Yang tidak penting tetapi mendesak
  4. Yang tidak penting dan tidak mendesak

Biasanya perkara 1 dan 3 akan sentiasa dihadapi oleh CEO. Namun, janganlah mengabaikan perkara yang kedua seperti pembentukan dan pelaksanaan strategi dan seumpamanya hanya kerana tidak ada batas masa yang harus dipatuhi.

Di dalam masa yang sama, banyak perkara-perkara dan isu-isu baharu yang boleh muncul. Jika seorang CEO tidak pandai menapis perkara-perkara ini, ianya akan menambah bebannya yang sudah berat. Di sinilah seni delegasi menjadi penting kerana sebahagian besar dari isu-isu ini boleh diperturunkan kepada pengurusan kanan yang lain. Apa yang penting ialah CEO memberikan pandu arah yang membantu mereka untuk menguruskannya.

Pintu bilik CEO juga haruslah sentiasa terbuka supaya senang pengurusan kanan bertemu dan meminta pandangan dan penjelasan. Bila mereka jelas akan kedudukan CEO di dalam satu-satu perkara, senang bagi mereka untuk menjalankan tindakan susulan. Memanglah mereka boleh menghubungi CEO dengan pelbagai kaedah seperti email dan pesanan ringkas. Namun, pertemuan empat mata bukan sahaja menyelesaikan masalah tetapi mengukuhkan hubungan di antara CEO dan pegawai berkenaan. CEO juga boleh mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara-perkara lain yang dikira penting oleh CEO. Ini adalah satu kaedah untuk merasakan “cuaca” di dalam perniagaan.

Ada juga manfaatnya jika CEO mempunyai seorang dua orang-orang yang mampu memberi nasihat secara jujur dan ikhlas apabila diperlukan. Biasanya mereka ini bukan sahaja kenalan rapat tetapi mempunyai banyak pengalaman dan berpegang kepada prinsip yang luhur. Pemerhatian dan pandangan mereka boleh memberi kejelasan kepada CEO dan boleh dijadikan pedoman di dalam melaksanakan tugas-tugas beliau.

Di zaman ini, CEO boleh dihubungi oleh sesiapa sahaja jika mereka tahu caranya. Walaupun ini bagus dari segi keterbukaan, ianya boleh menambah beban jika isu yang disampaikan boleh diuruskan oleh orang lain dengan lebih berkesan. Walau bagaimana pun, CEO sebagai wakil kepada perniagaan kena pandai menangani harapan pihak lain agar imej perniagaan sentiasa terjaga.

Bolehkah seorang CEO meluahkan perasaannya kepada orang lain di dalam perniagaan? Ini bergantung kepada sekuat mana hubungan dan kepercayaan CEO ke atas orang yang berkenaan. Sebagai manusia, adalah perasaan yang mahu dikongsikan bagi mengurangkan tekanan yang dipikul. Namun, CEO kena ingat, jika tersalah kongsi, apa yang dikongsikan itu boleh tersebar dengan cepat.

Dari segi kerahsiaan pula, mungkin ada perkara-perkara yang tidak perlu dikongsikan dengan mana-mana ahli pasukan sebelum tiba masanya. Ini termasuk transaksi-transaksi penting yang perlu dijaga kerahsiaannya sebelum ianya terlaksana. Ada juga perkara-perkara strategik yang ditimbangkan oleh CEO yang mungkin membawa kebimbangan di kalangan warga perniagaan jika dikongsikan terlalu awal. Ini tidak bermakna CEO tidak boleh membincangkan perkara-perkara demikian dengan sesiapa tetapi dia kena pandai menghadkan apa yang perlu.

Biasanya CEO dibantu oleh beberapa orang pegawai untuk memudahkan kerjanya. Mungkin perlu ada pembantu yang menguruskan hal ehwal harian seperti temu janji dan mesyuarat. Di samping itu seorang pembantu menguruskan hal ehwal pengurusan dan pematuhan lain yang membolehkan CEO fokus kepada perkara-perkara yang lebih strategik dan berimpak tinggi. 

Saiz kakitangan pejabat CEO bergantung kepada saiz dan kompleksiti perniagaan. Tidak perlulah ada pegawai khas yang ditayang-tayang. Yang penting setiap orang yang berada di pejabat CEO benar-benar membantunya bagi memudahkan urusan.

Seorang usahawan yang menjalankan tugas sebagai CEO kena juga menjaga kesihatannya. Ini bukan satu perkara yang mementingkan diri sendiri tetapi penting juga untuk perniagaan. Jika CEO sakit, banyak perkara akan tergendala. CEO kena pandai mencari masa untuk beriadah atau pun melakukan apa-apa aktiviti yang boleh menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental. Ini penting kerana dia biasanya akan tertekan dengan beban tanggungjawab serta kesuntukan masa.

Perspektif seorang yang berada di puncak bukit tentunya berbeza dengan orang yang berada di kaki bukit. Dari atas pemamdanganya jauh tetapi tidaklah begitu jelas. Bagi orang di bawah pula, semuanya jelas tetapi terhad kerana ada banyak objek yang menghalang pemandangan. Di sebelah dinding pun tak nampak dari bawah sedangkan dari atas, bangunan-bangunan yang bersusun di belang dinding itu boleh nampak walaupun mungkin kabur.

Perbezaan perspektif inilah yang perlu ditutup oleh CEO dengan menberi penjelasan kepada warga perniagaan lain tentang apa yang mendatang dan apa yang harus dilakukan. Ini membolehkan mereka juga tahu apa yang ada di sebalik dinding dan bersedia untuk bertindak bila perkara yang muncul seperti yang dimaklumkan oleh CEO. Jika CEO tidak melakukan ini dengan baik, tinggallah dia berseorangan di atas tu.