Kuasa adalah satu perkara penting di dalam pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan. Ianya membolehkan keputusan-keputusan dibuat supaya perniagaan dapat dijalankan dengan baik dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Kuasa ada dua bentuk. Yang pertama ialah kuasa yang berasal dari susun atur perniagaan. Jika perniagaan merupakan sebuah syarikat terhad (limited company) ianya mempunyai perlembagaan (constitution) yang memperuntukkan kuasa kepada pemegang saham dan juga lembaga pengarah. Lembaga pengarah pula boleh menurunkan kuasa kepada jawatankuasa pengarah dan juga CEO.
Adalah penting kuasa yang formal ini digunakan dengan betul dan semata-mata untuk kepentingan perniagaan. Proses penggunaannya pun kena betul seperti yang dikehendaki oleh undang-undang, perlembagaan syarikat dan keputusan lembaga pengarah.
Jika proses tidak diikuti, orang akan membentuk persepsi bahawa proses yang betul tidak penting di dalam perniagaan. Ini bukan sahaja akan membentuk budaya yang tidak sihat tetapi boleh membawa mudarat kepada CEO. Jika berlaku perkara yang tidak baik, proses penggunaan kuasa akan dinilai. Jika ada kegagalan, CEO boleh terdedah kepada implikasi undang-undang.
Kuasa yang kedua pula ialah pengaruh yang dimiliki oleh orang-orang tertentu di dalam perniagaan berkenaan. Pengaruh boleh dimiliki dengan pelbagai kaedah. Contohnya, jika perniagaan ada kesatuan sekerja, orang yang memimpin kesatuan biasanya dipilih kerana dia dianggap boleh memperjuangkan hak pekerja. Dia mungkin hanya seorang kerani tetapi boleh mempengaruhi dan meyakinkan majoriti pekerja di dalam perniagaan.
Seorang usahawan yang menjadi CEO juga boleh mempunyai pengaruh di samping kuasa yang dimilikinya. Satu kaedah yang seharusnya menjadi pilihan ialah dengan meyakinkan anak-anak buah di setiap peringkat berkenaan misi dan visi perniagaan dan memberi setiap warga perniagaan ruang untuk menyumbang kepada pencapaian misi dan visi tersebut. CEO kena menjadi contoh yang baik berkenaan budaya kerja dan kesungguhan untuk menjadikan perniagaan kukuh dan padu. Komitmen seperti ini akan meyakinkan orang lain untuk menyimbang dengan jujur dan ikhlas.
Oleh kerana CEO ada kuasa eksekutif, tentunya ada orang yang akan takut kepadanya lalu mengikut apa sahaja arahan yang diberikan. Ini adalah satu perkara yang tidak baik. Seorang CEO haruslah dihormati, bukan ditakuti. Jika orang lain hanya takut, mereka akan menjadi seperti tikus, baik di hadapan kita sahaja tetapi sebaliknya bila di belakang kita. Berbeza pula bila CEO dihormati. Orang akan cuba melakukan apa yang terbaik walaupun tidak pernah bertemu muka dengan CEO.
Sudah menjadi adat, untuk kita dihormati kita kena menghormati orang lain terlebih dahulu. Perbezaan kedudukan dan pangkat sepatutnya tidak boleh menjadi penghalang. Setiap insan di dalam perniagaan ada perasaan masing-masing. Itu perlu dijaga setiap masa. Namun, menghormati tidak pula bermakna sentiasa bersetuju dengan pandangan dan tindakan mereka. Kalau betul berilah galakan, jika salah kena tegur dan betulkan dengan kaedah yang bersesuaian dengan isu dan siapa yang terlibat.
Menghormati orang lain juga tidak bermakna CEO tidak boleh marah. Cuma kena bertempat dan dengan cara yang bersesuaian juga. Jika ada kesalahan berlaku di hadapan mata dan CEO diam sahaja, itu akan memberi isyarat bahawa kesalahan demikian diterima di dalam perniagaan. Cuma reaksi CEO tidak semestinya serta merta. Mungkin teguran lebih efektif di belakang tetapi mesejnya kena sampai kepada sesiapa yang berkenaan.
Jangan sekali-kali menembak ahli pasukan kita dari belakang. Contoh yang biasanya berlaku ialah di dalam mesyuarat lembaga pengarah. Jika pasukan pengurusan kita membuat pembentangan dan tidak dipersetujui oleh lembaga pengarah, janganlah CEO pula yang turut tidak bersetuju. Bukankah setiap kertas mesyuarat kena lalu meja CEO dahulu? CEO kena pertahankan atau menjelaskan pandangan pengurusan dan jika perlu, boleh cadangkan pembentangan semula dengan pembaharuan yang bersesuaian. Tindakan sebegini akan menjadikan CEO dihormati oleh rakan-rakannya yang lain.
Menggunakan kuasa dan pengaruh di dalam mempastikan perniagaan berjalan dengan baik dan menuju arah yang betul adalah satu kemahiran yang perlu dimiliki oleh CEO. Dia kena tahu bila mahu bertegas dan tidak berganjak walau seinci pun dan bila dia boleh mempertimbangkan pilihan-pilihan lain yang ada. Oleh kerana perniagaan sentiasa dinamik, bertindak dengan cara yang bersesuaian adalah penting demi menjaga kepentingan perniagaan dan memperkukuhkan pasukan yang dipimpin.
Walau bagaimana pun, CEO tidak boleh bersetuju dengan sebarang salah guna kuasa dan pelanggaran undang-undang. Ini bukan sahaja membahayakan perniagaan tetapi boleh juga membahayakan diri CEO secara peribadi.
Seperti yang sudah dibincangkan sebelum ini, CEO boleh mempengaruhi budaya yang diamalkan di dalam perniagan. Jika dia sentiasa fokus kepada misi dan visi perniagaan, mendorong dengan hikmah dan menggunakan kuasa dengan adil dan telus, peluang perniagaan untuk menjadi sebuah perniagaan yang mampan dan lestari menjadi lebih tinggi.