Sebuah perniagaan hidup di dalam persekitaran yang dinamik. Banyak perkara yang boleh berubah di dalam pasaran dan ianya sudah dibincangkan di dalam bab Pemacu Perubahan. Bila perubahan berlaku seorang CEO mungkin kena menambah ilmu dan kemahiran bagi menghadapi cabaran-cabaran baharu yang datang bersekali dengan perubahan berkenaan.
Oleh kerana ilmu boleh didapati dari pelbagai sumber samada pendidikan formal atau pun pelajaran berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, kemahiran belajar untuk belajar (learning how to learn skills) boleh membantu seorang CEO untuk mencari ilmu yang berkenaan dengan cabaran yang dihadapinya. Jika seseorang itu pernah belajar di pusat-pusat pengajian tinggi, dia seharusnya sudah dilengkapi dengan ilmu ini.
Kita semua maklum ilmu boleh dibahagikan ke dalam 2 jenis, ilmu yang boleh diserlahkan (explicit knowledge) dan ilmu dapatan (tacit knowledge). Ilmu yang boleh diserlahkan itulah yang banyak diajar di pelbagai ruang seperti kelas, seminar dan sebagainya. Ilmu dapatan hanya boleh dipindahkan melalui proses “externalisation” iaitu dipindahkan apabila kita duduk bersama dengan orang yang memilikinya dan berinteraksi dengannya atau memerhatikan bagaimana dia menyelesaikan masalah.
Apabila kita bersama dengan orang-orang yang berpengalaman, banyak ilmu-ilmu dapatan yang boleh dipelajari. Inilah sebabnya kita perlu membina keupayaan untuk mempelajari ilmu berkenaan dengan cara yang tidak formal.
Bagi saya, kemahiran belajar untuk belajar merangkumi:
1. Keupayaan untuk memahami asas, konsep atau prinsip sesuatu perkara yang perlu dihadapi.
2. Keupayaan untuk mengenalpasti ilmu-ilmu tambahan yang diperlukan dan boleh mendapatkan ilmu-ilmu demikian samada dengan belajar sendiri atau pun dengan bantuan orang yang mempunyai ilmu demikian.
3. Keupayaan untuk memerhatikan kerja-kerja atau pun pengalaman orang lain dan dapat membawa asas, konsep atau pun prinsip yang diperhatikan itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
4. Yang paling penting ialah kemampuan untuk menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang ada di dalam perniagaan yang diterajui.
Apabila kita mahir di dalam belajar untuk belajar, kita akan lebih senang untuk menjadi proaktif dan membentuk haluan sendiri di dalam memperkembangkan potensi diri. Kelebihan ini amat diperlukan oleh seorang CEO kerana dia akan dirujuk oleh anak-anak buahnya dengan pelbagai perkara dan isu pentadbiran dan pengurusan.