5 Pemacu Perubahan

Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa perniagaan dan dunia di sekeliling perniagaan itu sentiasa berubah. Ini adalah kerana perubahan di sekiling perniagaan akan mempengaruhi pasaran yang difokuskan, bagaimana perniagaan beroperasi, apa yang mendorong modal insan yang ada di dalam perniagaan, kedudukan kewangan perniagaan, peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dan perlbagai perkara lagi.

Oleh itu, adalah penting bagi seorang CEO untuk mengetahui apakah pemacu perubahan, bagaimana ianya mempengaruhi perniagaan, peluang dan risiko baharu yang timbul serta bagaimana perniagaan harus bertindak ke atas perubahan-perubahan yang telah, sedang dan akan berlaku. Bagi membantu CEO di dalam perkara ini, kefahaman berkenaan 5 Pemacu Perubahan (Change Drivers) adalah penting.

5 Pemacu Perubahan itu adalah:

  1. Masyarakat
  2. Teknologi
  3. Ekonomi
  4. Alam
  5. Peraturan/Politik

Perubahan di dalam pemacu-pemacu di atas bukan sahaja akan mempengaruhi perniagaan kita tetapi akan turun memberi kesan kepada kesemua elemen-elemen di dalam ekosistem perniagaan seperti pelanggan yang membeli produk atau perkhidmatan serta pembekal yang ada di atas rantaian bekalan yang membolehkan kita mengeluar dan memasarkan produk atau perkhidmatan kita.

Hubungan di antara 5 Pemacu Perubahan dan perniagaan yang diuruskan boleh digambarkan seperti di dalam rajah ini:

5 Pemacu Perubahan di atas akan mempengaruhi perniagaan dan persekitaran perniagaan kita

Sekarang kita boleh menganalisa dengan lebih terperinci bagaimana pemacu perubahan ini mempengaruhi perniagaan.

Masyarakat – Pelanggan kita adalah sebahagian dari ahli masyarakat samada mereka berada di negara ini atau pun di luar negara. Oleh itu, mereka akan juga terpengaruh dengan perkara-perkara yang mempengaruhi masyarakat secara amnya. Contohnya, apabila Pandemik Covid-19 melanda dunia, orang ramai amat perihatin dengan kesihatan mereka. Ini menyebabkan mereka kurang keluar dari rumah dan mula membeli secara di atas talian. Orang yang sebelum ini biasa dengan cara pembelian ini pun boleh menjadi biasa dengan pembelian di atas talian ini. Perubahan cara membeli ini akan menyebabkan perniagaan yang menjual secara bersemuka seperti restoran layanan tinggi (fine dining) akan menghadapi masalah untuk menjual kepada pelanggan mereka walaupun mereka merupakan pelanggan yang setia. Bagi perniagaan yang sudah ada kemudahan untuk menjual di atas talian, Pandemik Covid-19 menjadikan cara jualan itu semakin popular.

Teknologi – Ini merupakan pemacu perubahan yang amat penting kerana kadar penggunaan teknologi di dalam masyarakat semakin tinggi dan kita amat bergantung kepada teknologi di dalam kehidupan harian kita. Teknologi membolehkan sesuatu yang baharu dilakukan dan menyebabkan cara lama menjadi lapuk dan tidak terpakai lagi. Teknologi juga membolehkan perniagaan mengubah cara operasinya untuk menjadi lebih efisyen dan mengurangkan penggunaan sumber termasuk penggunaan modal insan. Di dalam masa yang sama, teknologi juga mewujudkan risiko-risiko baharu seperti serangan siber dan pemberhentian operasi sekirannya ada gangguan di dalam sistem yang digunakan oleh perniagaan.

Ekonomi – Secara amnya ekonomi adalah jumlah aktiviti perdagangan yang berlaku di dalam sesebuah negeri, negara atau pun kawasan (region). Peningkatan atau pengucupan ekonomi akan mempengaruhi sentimen perniagaan dan juga kuasa beli pelanggan yang ada. Bagi sebuah ekonomi terbuka seperti Malaysia, perkembangan luar negara akan juga mempengaruhi sentimen ekonomi di sini. Keyakinan pelabur kepada kedudukan ekonomi sesebuah negara akan meningkatkan jumlah pelaburan yang mereka masukkan ke dalam sistem ekonomi dan ini akan menggiatkan lagi aktiviti ekonomi di situ. Sebaliknya, apabila peniaga dan pelabur menjangkakan sektor ekonomi yang mereka ceburi akan mengucup, mereka akan membawa pelaburan mereka ke sektor dan lokasi yang lebih berpontensi termasuk di luar negara.

Alam – Kelestarian alam sekitar kini menjadi topik utama yang mempengaruhi sektor ekonomi dan sosial mana-mana negara. Ini adalah kerana banyak tempat sudah merasai kesan perubahan iklim yang disebabkan oleh pengeluaran karbon ke udara akibat dari aktiviti-aktiviti ekonomi manusia. Komitmen kepada penjagaan alam dan pengurangan pengeluaran kabon akan menyebabkan banyak peraturan-peraturan baharu yang akan memberi kesan kepada perniagaan. Contohnya, penjanaan elektrik dengan menggunakan arang batu dianggap di antara penyebab pengeluaran karbon yang tinggi. Sudah banyak bank-bank di dunia yang tidak lagi membiayai sektor ini. Apabila sektor ini dikurangkan, kesan ke atas rantaian bekalannya seperti pelombong dan pembekal alatan akan menyebabkan perniagaan di dalam sekor itu akan juga terjejas.

Peraturan – Peraturan adalah satu perkara yang akan mempengaruhi perniagaan secara lansung. Ini termasuk peraturan ke atas entiti perniagaan, perlesenan, pencukaian, keselamatan pekerja dan lain-lain lagi. Peraturan biasanya dibentuk oleh kerajaan samada di peringkat pusat, negeri dan juga kerajaan tempatan. Namun, disebabkan ekonomi dunia sudah kait mengait, ada juga peraturan yang dikeuatkuasakan di luar negera yang akan mempengaruhi perniagaan di negara-negara lain. Di kebelakangan ini, banyak badan-badan bukan kerajaan yang mengeluarkan aturan-aturan yang tidak ada kuasa undang-undang tetapi boleh mempengaruhi perniagaan kerana ianya popular di kalangan masyarakat dan juga orang-orang politik. Perlu ditekankan di sini, peranan orang-orang politik ke atas peraturan amat tinggi kerana mereka secara teorinya mewakili masyarakat. Jika ada desakan yang kuat di kalangan masyarakat berkenaan sesuatu perkara, peraturan boleh diwujudkan dengan sokongan orang politik walaupun asasnya lemah dan boleh merosakkan industri.

Seperti yang dinyatakan di atas, Pemacu Perubahan bukan sahaja memberi kesan kepada perniagaan kita tetapi boleh memberi kesan ke atas pasaran dan juga rantaian bekalan. Oleh itu di dalam sebarang analisa untuk memahami kesan Pemacu Perubahan, analisa ke atas pasaran dan rantaian bekalan tidak boleh ditinggalkan. Sebarang ganguan kepada kedua-dua elemen di atas akan mempengaruhi perniagaan yang kita uruskan juga.