Tanggungjawab kepimpinan datang bersekali dengan jawatan CEO. Dia akan menjadi rujukan kesemua orang yang bekerja dengannya. Oleh itu seorang CEO perlu mempunyai kejelasan ke mana perniagaan mahu dibawa dan bagaimana ianya boleh sampai di situ.
Sehebat mana pun seorang CEO itu, dia perlu bekerja melalui ahli-ahli pasukannya dan meyakinkan mereka akan arah tuju perniagaan yang perlu dicapai. Ini memerlukan daya kepimpinan yang berkesan dan perlu dizahirkan di lapangan.

Oleh yang demikian CEO perlu ada ilmu dan kemahiran yang berkenaan dengan amanah dan tanggungjawabnya. Ini pula kena diperkembangkan selaras dengan keperluan perniagaan. Mahu tak mahu, CEO kena menjadi penuntut ilmu sepanjang kerjayanya dengan perniagaan.
Seorang CEO kena meletakkan amanah yang dipegangnya di atas segala perkara dan berani melakukan apa yang dia kira benar demi menjaga kepentingan perniagaan. Di samping kuasa formal yang dimilikinya, CEO juga boleh memiliki kuasa informal hasil dari pengaruh yang dia bina di kalangan ahli pasukan dan pihak lain yang berkenaan. Kemampuan membina pengaruh ini amat penting.
Menjadi orang yang dipercayai akan membolehkan CEO berurusan dengan pelbagai pihak dengan berkesan. Ini bermakna dia kena membina kepercayaan ke atas dirinya melalui keputusan, tindakan dan langkah yang menimbulkan kehormatan orang lain ke atas dirinya.
Untuk melicinkan kerja-kerjanya, CEO kena mampu berkomunikasi dengan berkesan. Dia kena bersedia untuk menjadi jurucakap perniagaan di kalangan pelbagai pihak samada di dalam atau di luar perniagaan.
Kesemua elemen-elemen kepimpinan di atas akan menjadikan CEO seorang pemimpin yang mudah diikuti terutamanya oleh ahli pasukannya di dalam mencapai matlamat perniagaan yang telah ditetapkan.
Sila tonton video ringkas berkenaan Minda Pemimpin.