Organisasi Adalah Kumpulan Insan

Mana-mana organisasi mahu pun perniagaan bergerak kerana ada insan yang berkumpul di dalamnya dan bekerja ke arah satu tujuan. Cuma setiap seorang ada peranan dan tanggungjawab masing-masing. Hasil kerja mereka secara kolektif menentukan samada matlamat organisasi/perniagaan tercapai atau sebaliknya.

Walaupun kita sering mendengar bahawa “manusia adalah aset kepada organisasi” mereka tetap insan yang ada akal dan perasaan. Jadi, tak bolehlah mereka diuruskan sama seperti meja dan kerusi yang juga adalah aset. Malah, insan ini sebenarnya adalah modal kita di dalam perniagaan. Mungkin sebab inilah, banyak organisasi yang tidak lagi menggunakan nama Jabatan Sumber Manusia tetapi sudah digelar Jabatan Modal Insan.

Bila seorang usahawan memulakan perniagaan biasanya dia akan fokus kepada mewujudkan fungsi-fungsi perniagaan yang perlu ada di dalam perniagaan yang mahu diasaskan itu. Kena ada fungsi pengeluaran dan jualan. Kemudian wujud fungsi sokongan dan juga fungsi-fungsi pengurusan yang lain. 

Apa yang berlaku di dalam proses penubuhan dan perkembangan perniagaan ialah bertambahnya bilangan insan yang dibawa masuk berkadar dengan banyaknya fungsi-fungsi yang ada. Insan-insan ini perlu faham peranan mereka di dalam menjalankan fungsi-fungsi demikian dan perlu menjalankannya dengan cekap dan berkesan. Oleh kerana setiap fungsi perniagaan kena ada seorang yang menguruskannya dari segi strategik dan operasi, maka wujudlah ketua-ketua jabatan dan unit.

Mahu tidak mahu, perkembangan perniagaan akan menambahkan lagi bilangan insan di dalamnya. Bila makin ramai, ada bermacam-macam ragam dan gelagat. Lama-lama ini akan membentuk budaya di dalam perniagaan – “bagaimana sesuatu dilakukan di sini secara tidak sedar”. 

Mana-mana strategi atau pun arahan yang dibentuk tidak akan berkesan jika budaya yang ada tidak serasi dengan apa yang mahu dilaksanakan itu. Ini adalah di antara sebab mengapa banyak perniagaan sukar untuk berkembang bila sudah mencapai satu tahap. Hanya bila budaya dibentuk semula, perubahan lebih senang untuk dilaksanakan.

Pengurusan modal insan adalah satu cabaran bagi mana-mana CEO walaupun jika dialah yang menentukan kemasukan insan-insan ini ke dalam perniagaan. Kalau usahawan mengambil alih perniagaan yang sudah lama berjalan, cabarannya boleh jadi lebih besar kerana faktor budaya yang disebutkan di atas.

Secara amnya, di dalam menguruskan perniagaan kita kena tempatkan orang yang betul pada kedudukan yang betul. Betul di sini adalah dari segi ilmu dan kemahiran yang diperlukan bagi fungsi yang dipenuhi serta nilai di dalam jantunghatinya. Ini adalah satu perkara yang tidak mudah kerana kesemua perkara di atas tidak boleh diperhatikan dengan mata. Semuanya di atas kertas dan berdasarkan bacaan kita bila seseorang itu ditemuduga. Sebab itu, proses membawa masuk seseorang pekerja menjadi lebih canggih sekarang untuk mempastikan ketepatan orang yang mahu diambil dengan peranannya di dalam perniagaan.

Bila orang baharu masuk, kesesuaian beliau dengan rakan-rakan yang sudah lama ada akan membentuk dinamik yang baharu di dalam perniagaan. Ada orang baharu yang mampu memperkenalkan gaya kerja dan budaya yang lebih baik, ada juga orang yang hebat di tempat lain cair ditelan oleh budaya kerja di dalam perniagaan kita. Ni CEO kena perhati, tak boleh biarkan begitu sahaja.

Setiap insan pula kena sentiasa dibangunkan melalui penambahan ilmi dan kemahiran. Walaupun banyak kaedah boleh dipilih di dalam pembangunan insan, apa yang penting ialah kemahuan mereka untuk membangunkan diri sendiri dan menjadikan perniagaan lebih mantap. Tak kesemua insan-insan yang ada mahu berkembang. Ada banyak kes yang mana orang lama sudah beku dengan cara kerja lama dan tak mahu berubah walau pun mereka mahu jawatan yang lebih tinggi dengan gaji yang lebih besar.

Oleh kerana seorang CEO perlu meletakkan orang-orang yang berkelayakan dan mampu melaksanakan strategi yang sudah ditetapkan pada fungsi-fungsi yang bersesuaian, dia kena bersedia melakukan perkara ini walau pun akan mengguriskan hati orang-orang yang tidak lagi sesuai pada kedudukan yang mereka duduki. Ini bukan satu perkara yang senang untuk dilakukan namun itulah kerja CEO. Jika tidak, nasib perniagaan di masa hadapan akan terjejas dan ramai orang-orang yang komited yang akan turut menanggung bebanannya.

Satu lagi cabaran pengurusan modal insan ialah bagi mempastikan orang-orang yang efektif dan menjalankan kerja-kerja mereka dengan baik kekal di dalam perniagaan. Boleh jadi, mereka ini tidak disukai oleh orang lain yang tidak sehebat mereka. Macam-macam boleh berlaku di luar bilik CEO. Adalah malang bagi perniagaan jika orang yang bersesuaian dan efektif meninggalkan perniagaan kerana isu dalaman dan kekallah orang-orang yang sebaliknya menjaga kubu masing-masing.

Seorang CEO kena menerima hakikat bahawa bertukaran ahli pasukan tidak boleh dielakkan walau bagaimana hebat pun perniagaan kita. Untuk itu, kena ada persediaan awal dari segi perancangan penggantian. Ini bermakna, bagi setiap jawatan kritikal kena ada seorang dua ahli pasukan lain yang boleh diberi tanggungjawab berkenaan. Biasanya ini sudah untuk dilaksanakan walaupun bagi organisasi yang besar dan sudah lama ditubuhkan.

Sebagai mana dinamiknya insan, pengurusan modal insan amat dinamik dan memerlukan perhatian mendalam seorang CEO. Mempunyai Ketua Pegawai Modal Insan yang membantu CEO di dalam bab ini amatlah penting. Jika insan-insan yang hebat tidak dibawa masuk, dibangunkan dan cuba dikekalkan di dalam perniagaan, susahlah CEO mahu menjalankan tanggungjawab beliau untuk membawa perniagaan ke tahap yang lebih cemerlang.