Bimbingan Mengubati Kesunyian CEO

Oleh kerana CEO adalah jawatan eksekutif tertinggi di dalam perniagaan, adalah sukar bagi seorang CEO untuk bercerita apa sahaja dengan anak-anak buahnya. Apa lagi jika dia nak bertanya berkenaan perkara-perkara yang dianggap boleh menjatuhkan kedudukannya di mata ahli pasukan.

Apabila seorang CEO ada pembimbing, dia ada orang yang dia boleh membuka cerita dan meluahkan apa yang dia rasa. Ini adalah kerana pembimbing mempunyai tanggungjawab untuk menyimpan rahsia dan tidak boleh menceritakan apa yang dia tahu melalui proses bimbingannya itu. Ini adalah syarat utama di dalam pemilihan pembimbing.

Pembimbing juga kenalah seorang yang boleh membaca keadaan dan mengubah kaedah interaksi dengan CEO agar hubungan mereka menjadi lebih akrab. Apabila wujud perasaan saling percaya mempercayai di antara CEO dan pembimbing, proses bimbingan akan menjadi lebih mudah.

Di antara perkara penting di dalam bimbingan ialah pembimbing sentiasa mendorong CEO untuk melakukan apa yang telah dipersetujui. Ini bermakna mereka kena sentiasa berinteraksi seperti yang sudah dipersetujui dan dijadualkan. Ini juga adalah peluang bagi CEO untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat dengan pihak ketiga.

Proses bimbingan juga mewujudkan kaedah interaksi di antara CEO dengan anak-anak buanhnya dan pelbagai pihak ketiga yang lain. Ini akan meluruskan kembali kaedah mereka berhubung dan membolehkan apa-apa yang sukar dibincangkan sebelum ini dibincangkan dengan lebih terbuka.

Secara amnya, proses bimbingan membolehkan seorang CEO menjadi arif berkenaan kaedah komunikasi dan mewujudkan protokol komunikasi yang membolehkan dia berinteraksi dengan lebih terbuka dengan orang-orang di dalam dan luar organisasi. Ini sedikit sebanyak mengubati kesunyian seorang CEO.