Pentingnya Bimbingan Ada Proses

Secara amnya satu proses ialah langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencapai sesuatu sasaran atau objektif. Ini bermakna proses kena ada tujuan dan pencapaiannya boleh dinilai.

Oleh itu, tentunya kerja besar seperti membinbing CEO perlu ada proses yang jelas supaya hasilnya benar-benar memberi kesan. Ini adalah kerana proses bimbingan CEO mengkehendaki seorang CEO memberikan sebahagian masanya yang sibuk itu untuk melakukan pelbagai perkara yang bertujuan menjadikan dia seorang CEO yang lebih efektif. Jadi, hasilnya kena berbaloi.

Bagi mana-mana proses kena ada sekurang-kurangnya 4 perkara:

  • Objektif atau tujuan
  • Langkah-langlah yang perlu dilakukan
  • Penilaian hasil yang jelas
  • Maklum balas

Di dalam konteks bimbingan CEO, objektifnya akan ditentukan berdasarkan keperluan spesifik seseorang CEO. Ada juga kaedah bimbingan yang memerlukan diadakan tinjauan yang merangkumi CEO dan pelbagai pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan maklumat berkenaan kedudukan semasa CEO dan apakah kemahiran baharu yang beliau perlukan. Dari sini, objektif bimbingan boleh dipersetujui dengan kaedah yang lebih tepat.

Setelah objektif ditetapkan, barulah langkah-langkah yang perlu dijalani oleh CEO ditetapkan. Ini pula bergantung kepada kaedah bimbingan yang diguna pakai dan realiti yang ada disekeliling CEO berkenaan. Langkah-langkah yang praktikal perlu diberikan keutamaan agar proses bimbingan lebih realistik dan boleh disempurnakan.

Menetapkan kaedah penilaian dan siapa yang akan menilai adalah penting. Ini bukan sahaja satu keperluan agar proses bimbingan benar-benar berhasil tetapi akan memberikan keyakinan kepada CEO dan juga pihak yang berurusan dengannya. Penilaian tidak boleh dibuat sambil lewa sahaja kerana yang akan menanggung kesan bimbingan ialah perniagaan itu sendiri.

Maklum balas dari pembimbing dan pelbagai pihak yang terlibat amat tinggi nilainya kepada seorang CEO yang benar-benar mahu menjadi efektif. Dari maklum balas berkenaan dia akan benar-benar dapat menjangka perkembangannya di dalam proses bimbingan ini. Di samping itu, pihak yang diberi peluang untuk memberikan maklum balas akan berasa bahawa mereka juga terlibat sama dan ini akan meningkatkan keyakinan mereka ke atas CEO.

Proses bimbingan perlu dibincangkan di antara pembimbing dan CEO dengan terbuka dari awal lagi. Ini membolehkan kedua-dua pihak memberikan pandangan dan mencapai persetujuan. CEO kena komited dengan apa yang dia telah persetujui itu.