Oleh kerana tujuan utama bimbingan ialah untuk mengupayakan CEO mengambil keputusan dan bertindak dengan berkesan selepas proses bimbingan, CEOlah yang kena bekerja di dalam proses bimbingan. Tugas pembimbing ialah untuk mendorong CEO melaksanakan tanggungjawabnya itu.
Kerja-kerja yang perlu dilakukan CEO bertujuan untuk membolehkan dia membina kemahiran baharu atau berhenti dari melakukan tabiat-tabiat bukuk. Menurut Marshall Goldsmith, pembimbing eksekutif yang tersohor itu, untuk maju ke hadapan seorang yang berjaya kena berhenti dari terus melakukan tabiat-tabiat lama yang boleh menghalang perkembangan beliau ke tahap yang lebih cemerlang.
Mari kita ambil tabiat tak suka mendengar pandangan orang lain. Seorang yang menduduki kerusi CEO mungkin berasa dia sudah pandai dan tidak perlu mendengar pandangan orang lain terutamanya orang-orang di bawah. Untuk menjadi seorang CEO yang lebih baik, dia kena mula membina kemahiran mendengar. Di dalam proses bimbingan, CEO akan dikehendaki melakukan beberapa perkara seperti diam apabila orang lain bercakap dan hanya mengambil nota. Ini akan dipantau secara berterusan oleh pembimbing sehinggalah perangai dengar dahulu sebelum komen menjadi tabiat baharu CEO.
Dari contoh ini, jelaslah CEO kena bekerja kuat. Menutup mulut sambil mendengar pelbagai pandangan dan saranan orang lain bukannya senang. Lebih-lebih lagi sekiranya orang yang bercakap itu merapu dan tidak tahu apa yang dia cakapkan. Namun, jika CEO sering memotong percakapan semua orang yang mahu memberikan pendangan, akhirnya budaya senyap dan angguk akan timbul dan ini tidak membantu perniagaan mencapai tahap yang lebih cemerlang.
Sebaliknya, membina kemahiran baharu pun memerlukan usaha yang berterusan juga. CEO kena faham teori dan asas kemahiran baharu berkenaan dan mengulangi langkah-langkah yang diperlukan bagi benar-benar menguasai kemahiran berkenaan. Ini mungkin memerlukan satu tempoh yang lama dan komitmen yang tinggi. Pembimbing akan berada di tepi gelangan dan memberikan maklum balas berdasarkan data-data yang dikutip dari proses bimbingan.
Oleh yang demikian, hanya orang yang komited untuk mencuba untuk berubah sahaja yang boleh dibimbing dengan berkesan. Sekiranya CEO sudah selesa dengan apa yang dia ada, dia mungkin tidak akan memberikan kerjasama dan tidak mendapat manfaat dari proses bimbingan ini. Jadi, eloklah dipersetujui dahulu akan komitmen CEO untuk menurut apa yang telah dipersetujui dengan pembimbing dan bekerja keras untuk menjadi CEO yang lebih efektif.