Semua Beban Terhenti Di Meja CEO

Sebagai orang yang tertinggi di dalam organisasi, seorang CEO perlu mengambil tanggungjawab ke atas apa yang berlaku di dalam organisasi. Walaupun dia mempunyai pegawai-pegawai kanan yang mengurus dan mentadbir pelbagai fungsi di dalam organisasinya, segala isu terutamanya yang bersifat strategik atau pun yang akan memberikan kesan yang besar seharusnya berhenti di atas meja CEO.

Ini tidaklah pula bermakna pegawai-pegawai kanan yang lain tidak perlu bertanggungjawab ke atas fungsi yang mereka jalankan. Namun, oleh kerana mereka bekerja berdasarkan kepada strategi atau pun parameter yang telah dipersetujui bersama dengan CEO, seorang CEO tidak boleh berlepas diri sekiranya ada apa-apa perkara yang tidak menyenangkan berlaku.

Untuk membantu beliau, seorang CEO perlu memperkenalkan mekanisma bagi menjadikan keputusan-keputusan yang dibuat secara bersama dengan pegawai-pegawai lain tepat dan mencapai dapatan-dapatan (outcomes) yang menguntungkan perniagaan. Ini termasuk mengambilkira risiko-risiko yang terbit dari keputusan berkenaan dan mengadakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko-risiko tersebut.

Seorang CEO juga kena mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup di dalam perkara yang hendak ditentukan agar dia tidak tersilap membuat keputusan. Pergantungan kepada pihak ketiga seperti perunding tidak ada masalah. Namun kena faham apa yang dicadangkan oleh mereka dan CEO kena betul-betul sedar apa yang dia mahu luluskan.

Sikap tidak mahu mengambil tanggungjawab akan menimbulkan kecelaruan di dalam organisasi. Seorang CEO yang dengan mudah menyalahkan orang lain akan membentuk budaya yang tidak sihat. Semua orang akan membuat keputusan dengan lambat atau pun mengelakkan membuat keputusan. Kadang kala ada juga CEO yang menyalahkan pegawai yang mencadang apabila cadangan berkenaan dipersoalkan di dalam mesyuarat lembaga pengarah sedangkan kertas cadangan yang dibincangkan sudah disokong oleh CEO. Ini macam menembak askar sendiri dari belakang di medan perang.

Ada juga CEO yang sentiasa menukar apa yang dikehendaki beliau menyebabkan pegawai- pegawainya tertanya-tanya apa yang harus mereka lalukan. Kejelasan pendangan serta strategi amat diperlukan oleh orang yang dipimpin agar mereka boleh bertindak dengan lebih yakin.

Seorang CEO yang memandang ke hadapan sudah boleh menjangkakan isu-isu dan keputusan-keputusan besar yang perlu dibuat. Dia sepatutnya sentiasa bersedia untuk membuat keputusan apabila perlu. Penyelidikan dan pengumpulan data serta maklumat boleh dibuat sebelum timbul keadaan yang terdesak.

Jika CEO perlu mendapatkan pandangan orang lain, dia boleh melalukannya terlebih awal. Ini boleh mengelakkan keputusan-keputusan yang penting dibuat secara terdesak atau pun dilewat-lewatkan sehingga membawa kesan buruk kepada perniagaan seperti terlepas peluang atau gagal memenuhi kehendak kontrak.

Berdasarkan kepada kedudukannya di dalam organisasi, sebarang isu besar di dalam perniagaan kena berhenti di meja CEO. CEO kena membuat kata putus dengan penuh yakin dan tidak ragu-ragu. Jika tidak, perniagaan akan bergerak secara perlahan dan banyak peluang akan terlepas begitu sahaja. Kena bersedialah untuk menguruskan perkara ini.