Menjaga Hubungan Dengan Pihak-Pihak Yang Berkepentingan

Sebuah perniagaan hidup di dalam satu ekosistem yang luas dan boleh menjangkau sempadan negara. Dari rantaian bekalan yang mengandungi pengikang serta pembekal, ianya sampai kepada medan jualan yang melibatkan pengedar serta pelanggan. 

Di samping itu ada banyak pihak lain yang mempengaruhi perniagaan seperti pihak yang mengeluarkan lesen, badan kawal selia, penguasa tempatan dan pusat. Pemegang saham dan institusi kewangan yang membekalkan modal pun jangan dilupakan.

Seorang CEO, sebagai pemimpin perniagaan kena berusaha untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan kesemua pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) ini. Ini adalah kerana hubungan yang baik akan melicinkan perjalanan perniagaan dan boleh membantu perniagaan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Hubungan di antara dua organisasi sebenarnya adalah hubungan di antara insan-insan di dalam organisasi-organisai berkenaan. Oleh itu CEO dan pasukannya kena mengenalpasti siapa di dalam organisasi setiap pihak yang berkepentingan yang perlu dikenali. Pertemuan boleh diadakan secara formal. Di samping itu, jika ada peluang untuk bertemu secara sosial, peluang berkenaan boleh digunakan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dengan orang-orang yang boleh memberi kesan ke atas perniagaan.

Bila kita ada keperluan, kita sudah tahu siapa yang kita perlu cari dan sudah maklum hati budi mereka. Jika kita hanya mencari mereka secara tiba-tiba, agak sukar untuk kita menjangkakan apakah reaksi yang akan mereka berikan ke atas keperluaan kita.

Di dalam pengalaman saya, asas kepada hubungan ini kena betul dan dipupuk secara profesional. CEO kena menghidupkan nilai-nilai amanah, jujur dan ikhlas setiap masa. Bila kita sudah menjadi kawan di atas dasar yang profesional ini, senang untuk kita berurusan dan untuk bersetuju untuk tidak bersetuju jika ada percanggahan pandangan.

Ada kalanya pihak yang berkepentingan cuba mempengaruhi perniagaan kita supaya menurut kehendak mereka. Jika apa yang mereka mahu itu salah, janganlah dilayan walaupun mereka memberi alasan demi kepentingan agama dan bangsa. Sekali layan, susah nak berhentikan mereka.

Sebagai orang Islam, kita kena yakin bahawa rezeki kita sudah ditentukan oleh Allah dan kita jangan cuba untuk menggunakan kaedah yang berdosa seperti rasuah untuk mendapatkan apa yang kita hajati dari pihak-pihak yang berkepentingan ini. 

Kepercayaan bahawa satu perniagaan hanya akan berjaya melalui rasuah dan sogokan adalah satu tahyul. Jika industri yang kita ceburi memang kuat rasuahnya, apa yang menghalang kita untuk berhijrah ke industri yang lebih bersih?

Perniagaan kita seharusnya boleh membawa nilai tambah kepada pihak yang berkepentingan supaya mereka juga akan mendapat kebaikan dari kita. Sebagai contoh, kita boleh memberikan cadangan-cadangan yang baik kepada badan kawal selia supaya industri kita boleh berjalan dengan lebih baik. Cadangan-cadangan sebegini boleh membantu badan kawal selia berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja mereka dengan lebih baik.

Perniagaan yang beroperasi secara global biasanya ada satu unit yang hanya berurusan dengan pelbagai agensi kawal selia dan perlesenan di pelbagai negara. Unit ini biasanya dinamakan unit Polisi Awam. Orang-orang dari unit ini akan mewujudkan hubungan dengan orang-orang penting yang berpengaruh membentuk polisi dan mengawal selia industri yang diceburi. Bila bersesuaian, cadangan-cadangan akan diberikan supaya polisi yang dibentuk atau kaedah kawal selia tidak membebankan perniagaan.

Menyertai persatuan industri boleh juga menjadi satu jalan untuk membentuk hubungan dengan pihak yang berkepentingan. Ada kalanya, agensi kerajaan hanya mahu berinteraksi dengan persatuan industri kerana ianya mewakili majoriti dari pemain industri di dalam sektor berkenaan. Oleh kerana setiap persatuan industri ada politiknya yang tersendiri, seorang CEO yang mahu terlibat harus tahu membaca keadaan dan tidak terpengaruh dengan politik dalaman ini. Apa yang harus difokuskan ialah menyumbang bagi membina imej persatuan industri yang profesional supaya dihormati oleh pihak-pihak yang berpengaruh di dalam industri.

Bila kita mendampingi pihak-pihak yang berkepentingan, janganlah terlalu perihatin kepada hiraki. Tidak semua orang-orang besar dan berpangkat akan membantu. Kadang-kadang orang-orang di bawah yang terlibat di dalam operasi boleh memudahkan perniagaan kita. Sebab itu, sifat rendah diri dan memuliakan orang lain amat menolong bila kita berurusan dengan pihak lain.

Ada kalanya, pihak-pihak perkepentingan ini berada di luar negara. Sekiranya perlu, hubungan yang baik perlu juga dijalin dengan mereka. Cuma kita kena sedar kaedah dan budaya di luar negara mungkin berbeza dengan apa yang biasanya diamalkan di sini. Memahami dan menghormati budaya dan adat mereka akan membantu di dalam membina hubungan yang baik dengan pihak luar negara.

Hubungan yang profesional dan di atas prinsip yang benar akan menjadikan hubungan perniagaan kita dengan pihak-pihak yang berkepentingan lebih jelas dan mudah. Kita pun kena tetapkan garis pemisah yang jelas di antara apa yang boleh dan apa yang tidak ada kompromi seperti rasuah. Ingatlah bumi Allah ini luas dan rezeki Allah ada di mana-mana.