Pihak Yang Berkepentingan dan Rantaian Nilai Perniagaan

Walaupun secara asasnya pihak yang berurusan kepada perniagaan merangkumi pembekal, pekerja dan pelanggan sahaja, sebenarnya banyak lagi pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan ke atas prestasi dan kaedah pengurusan dan pentadbiran mana-mana perniagaan.

Pembekal mempunyai rantaian bekalannya yang tersendiri. Sebarang perubahan besar di dalam pembelian oleh mana-mana pelanggan akan juga mempengaruhi rantaian bekalan berkenaan. Apa-apa piawaian yang digunapakai sebagai piawaian asas barangan yang dibeli akan menyebabkan pembekal perlu menggunapakai kaedah belian yang membolehkan piawaian tersebut dicapai.

Pelanggan juga bukan terhad kepada orang atau pihak yang membeli barangan dari satu-satu perniagaan secara lansung. Barangan yang dibeli mungkin dipakai oleh pihak ketiga seperti baju atau kasut yang dibeli oleh ibu kepada anaknya atau barangan perubatan yang dibeli oleh pihak hospital dan digunakan oleh doktor untuk merawat pesakit. Ternyata, ada pengguna yang tidak berurusan dengan perniagaan berkenaan secara lansung.

Pekerja pula mempunyai kepentingan lansung dengan perniagaan kerana mereka mencari rezeki di situ. Apa-apa polisi dan kaedah pengurusan akan mempengaruhi kehidupan pekerja secara lansung. Di dalam masa yang sama, keluarga mereka secara lansung atau tidak lansung akan terkesan juga jika perniagaan rugi dan terpaksa ditutup, misalnya.

Selain dari pihak-pihak di atas, ada beberapa pihak lain yang juga mempunyai kepentingan masing-masing secara lansung. Ini merangkumi badan-badan kerajaan yang menyelia industri, pihak berkuasa yang bertanggungjawab berkenaan tadbirurus, kewangan, kebajikan pekerja serta kepentingan awam yang lain, pembekal modal seperti pemegang saham dan institusi kewangan dan mana-mana pihak yang akan terkesan dengan operasi perniagaan seperti penduduk setempat.

Perniagaan perlu peka kepada kehendak perundangan seperti perlesenan dan pencukaian serta caruman kepada badan-badan tertentu bagi pihak pekerja. Mereka juga perlu beroperasi dengan mengambilkira kepentingan pekerja, pembiaya dan pelbagai pihak lain seperti yang dinyatakan di atas agar kesan perniagaan dan operasi mereka membawa kesan positif kepada masyarakat secara keseluruhannya di samping membawa pulangan kepada pemegang saham dan pelabur. 

Dengan menberi respon yang bersesuaian kepada isu-isu berbangkit dari pihak yang berkepentingan secara lansung atau tidak lansung, perniagaan boleh mengurangkan risiko strategiknya yang mungkin ada implikasi operasi dan kewangan.

Seperti elemen-elemen perniagaan yang lain, siapa pihak berkepentingan yang berkenaan akan turut berubah-rubah  mengikut perkembangan perniagaan dan industri. Oleh itu, usahawan perlu sentiasa peka dengan perubahan demikian agar pihak berkempentingan yang baru muncul dan kritikal kepada perniagaannya tidak terlepas pandang. Generasi muda kini, misalnya, suka dikaitkan dengan perniagaan yang perihatin kepada penjagaan alam sekitar. Jadi, untuk menarik mereka sebagai pelanggan mahu pun pekerja, aspek mesra alam ini tidak boleh dibiarkan

Leave a Reply