Lembaga pengarah dan CEO memainkan dua peranan yang berbeza. Lembaga pengarah fokus kepada perkara-perkara besar seperti strategi, mempastikan wujud rangka kerja tadbir urus dan kawalan dalaman yang baik dan membuat keputusan-keputusan besar bagi syarikat.
CEO pula bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang telah diputuskan oleh lembaga pengarah dan menyelia perjalanan harian perniagaan seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Pengerusi lembaga pengarah bekerjasama dengan CEO di dalam perkara-perkara di atas. Seorang pengerusi yang baik akan memberikan pandangan dan nasihat berkenaan apa yang diharapkan oleh lembaga pengarah tetapi tidak berebut dengan CEO untuk menjalankan kerja-kerja harian di dalam perniagaan.
Agenda mesyuarat lembaga pengarah biasanya dipersetujui secara bersama di antara Pengerusi dan CEO. Ini adalah berdasarkan apa yang menjadi tanggungjawab lembaga pengarah serta perkara-perkara besar yang dipantau oleh lembaga pengarah. Sekiranya ada perkara-perkara strategik dan penting yang baharu timbul, CEO juga perlu mengangkatnya untuk perhatian mahu pun keputusan lembaga pengarah.
Kertas-kestas menyuarat disediakan oleh pihak pengurusan. Di sinilah pentingnya cadangan-cadangan atau pun makluman disediakan dengan baik, mempunyai maklumat yang berkualiti, ada analisa risiko dan diberikan cadangan-cadangan untuk dipertimbangkan oleh lembaga pengarah. Setiap kertas mestilah mendapat kelulusan dari CEO dan dari situ, CEO bertanggungjawab ke atas cadangan dan makluman yang diberikan.
Kertas mesyuarat hendaklah dihantar kepada setiap ahli lembaga pengarah di dalam jangkamasa yang munasabah sepaya mereka dan membaca dan memahami cadangan dan makluman dari pihak pengurusan. Setiap ahli lembaga pengarah bertanggungjawab untuk membaca dan memahami kertas mesyuarat, janganlah pula hanya membuka kertas mesyuarat ketika mesyuarat bermula. Itu tidak adil kepada peranan yang mereka pegang.
Di dalam syarikat yang efektif, mesyuarat fokus kepada keputusan yang hendak dibuat. Ini boleh berlaku jika setiap ahli mesyuarat sudah bersedia dan memahami latar belakang itu serta keputusan yang diminta. Sebab itulah, memilih ahli lembaga pengarah yang berkelayakan, berkemahiran, berpengalaman dan mempunyai nilai yang baik adalah penting.
Seorang CEO kena mengenali setiap ahli lembaga pengarah supaya dia bersedia untuk berinteraksi dan membantu mereka untuk membuat keputusan. Oleh kerana manusia ini berbeza dari segi sikap dan perangai, CEO kena mampu membaca apa yang disukai oleh setiap ahli lembaga dan apakah kaedah yang terbaik untuk berinteraksi dengan mereka. Ini adalah satu perkara yang penting supaya mesyuarat berjalan dengan lancar dan keputusan yang dimahukan dibuat oleh lembaga pengarah.
Ada ahli lembaga pengarah yang suka diberi penerangan sebelum mesyuarat. Ada yang suka bertanya soalan walaupun soalan tersebut mungkin tidak ada kena mengena dengan isu yang dibincangkan, ada yang tidak membuat persediaan yang cukup sebelum mesyuarat dan macam-macam lagi. CEO kena membaca sentimen di dalam mesyuarat dan memberi reaksi yang bersesuaian supaya mesyuarat berjalan lancar.
Satu amalan yang baik ialah CEO membincangkan terlebih dahulu setiap isu yang ada di dalam agenda dengan Pengerusi. Bila Pengerusi faham akan isu-isu berkenaan dan apakah keputusan atau pun maklumbalas yang diperlukan, dia boleh memainkan peranannya untuk mempastikan mesyuarat berjalan dengan lancar.
Perkara yang paling penting di dalam hubungan di antara CEO dan lembaga pengarah ialah kepercayaan dan keyakinan lembaga pengarah ke atas CEO. Jika ini wujud, banyak perkara-perkara yang sukar menjadi senang. Jika lembaga pengarah sudah ada persepsi buruk ke atas CEO, susahlah kedua-dua belah pihak untuk bekerja dengan berkesan.
Kepercayaan dan keyakinan timbul dari pelbagai perkara. Kualiti kepimpinan CEO, kualiti kertas-kertas mesyuarat, keupayaan CEO untuk memberi penjelasan yang meyakinkan, hasil yang dicapai setakat ini dan bagaimana CEO menjalinkan hubungan dengan ahli lembaga pengarah di luar mesyuarat adalah di antara beberapa perkara penting.
Oleh itu CEO kena sedar akan pentingnya dia menjalinkan hubungan baik dengan setiap ahli lembaga pengarah.
Ini tidak bermakna, di dalam menjalinkan hubungan dengan ahli lembaga pengarah, CEO kena menggadaikan prinsip-prinsip yang dipegangnya. Kita boleh raikan manusia lain dengan selayaknya tanpa menggadai prinsip yang kita pegang. CEO yang tak ada prinsip akan mendatangkan mudarat kepada perniagaan.