Konsep pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan biasanya dibincangkan secara umum. Sebenarnya ia perlu disesuaikan dengan tahap kemajuan dan kematang perniagaan masing-masing. Ini adalah penting kerana keperluan dan kompleksiti perniagaan berbeza pada setiap peringkat dan tidak ada satu kaedah pengurusan, tadbirurus dan kempimpinan yang khusus yang boleh digunakan kepada setiap perniagaan pada setiap ketika.

Rajah di atas menunjukkan bahawa perniagaan yang berkembang akan menghadapi beberapa fasa-fasa perkembangan yang dipengaruhi oleh peringkat pertumbuhan sejajar dengan perkembangan saiz dan kompleksiti operasi mereka.
Fasa pertama ialah fasa permulaan di mana apa yang penting pada peringkat ini ialah untuk membuktikan model perniagaannya bersesuaian dan nilai yang ditawarkan mendapat sambutan di dalam pasaran. Kaedah pengurusan di peringkat ini lebih kepada kaedah keusahawan yang mana pengasas perniagaan akan mencuba pelbagai kaedah berdasarkan sumber dan kemampun yang ada.
Fasa kedua ialah perkembangan pesat yang mana kaedah pengurusan perlu diubah kepada bentuk yang lebih formal dan tanggungjawab mula diagihkan kepada ahli pasukan yang lain secara tersusun dan terancang. Ini memerlukan sistem dan proses diperkenalkan dan ahli pasukan yang diberi tanggungjawab perlu mempunyai kemahiran, faham akan peranannya dan berani membuat keputusan di dalam ruang dan fungsi yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
Fasa ketiga, iaitu fasa lestari, ialah bila perniagaan mudah mula matang dan mempunyai sistem dan proses yang sudah terbukti berkesan. Di peringkat ini, secara beransur-ansur pengurusan perniagaan mula dilepaskan kepada pengurusan profesional dan pengasas mengambil kedudukan sebagai pengawas sahaja. Ini memerlukan komunikasi yang berkesan di antara pasukan pengurusan dan lembaga pengarah. Pengurusan akan mengambil tanggungjawab ke atas elemen-elemen pengurusan perniagaan manakala lembaga pengarah akan menjalankan tanggungjawab pentadbiran seperti yang akan dibincangkan di dalam bahagian yang seterusnya.
Fasa global ialah bila syarikat mula berkembang dengan pengambilalihan atau penggabungan. Komposisi pemegang saham mula berubah secara ketara dan kehendak kepada kualiti tadbirurus yang berkesan dan bermutu amat nyata. Keupayaan seperti menilai perniagaan, menstruktur modal, menintegrasi operasi dan perancangan secara kumpulan amat penting di dalam peringkat ini.
Perubahan dari satu fasa ke satu fasa yang lain tidaklah senyata dan jelas seperti apa yang dibincangkan di atas. Walau bagaimana pun, usahawan dan pengarah syarikat perlu maklum bahawa cara pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan perniagaan mereka mestilah disesuaikan dengan keperluan perniagaan dari masa ke semasa dan tidak boleh dijalankan secara jumud.
Ini bermakna formula yang sudah terbukti berjaya di masa yang lalu akan terus menerbitkan kejayaan bila perniagaan semakin besar dan suasa persikitaran berubah. Keperluan untuk sentiasa mencari kaedah yang bersesuaian akan sentiasa ada dan usahawan perlu mempunyai data, maklumat dan menilainya dengan pemikiran yang terbuka.
Sila rujuk laporan berkenaan tahap perkembangan SME di Kanada ini bagi memahami konsep fasa-fasa perkembangan perniagaan seperti yang dibincangkan di atas.