Komunikasi Berkesan Bantu Pelaksanaan Strategi

Ramai orang yang lupa bahawa strategi dilaksanakan oleh insan. Oleh yang demikian, strategi tidak boleh dijadikan misteri dan hanya dimaklumi oleh sekumpulan kecil ahli pasukan sahaja. Tentulah sebanyak mana maklumat berkenaan strategi yang dikongsikan itu bergantung kepada kedudukan dan tahap ahli pasukan berkenaan.

Insan secara semula jadinya selesa dengan apa yang dia sudah biasa. Sekiranya dia dikehendaki untuk melakukan sesuatu yang baharu dengan berkesan, dia perlu diyakinkan bahawa apa yang baharu itu bermanfaat kepada dirinya. Lebih jelas manfaat itu, lebih komited pelaksanaan apa yang baharu berkenaan.

Oleh yang demikian, pelan komunikasi berkenaan strategi wajar diwujudkan dengan tujuan untuk meyakinkan ahli-ahli pasukan agar mereka penjadi penggerak utama pelaksanaan strategi. Komunikasi juga penting untuk menjelaskan isu-isu yang timbul di peringkat pelaksanaan strategi, samada yang sudah dijangkakan atau pun isu-isu baharu yang tidak diduga.

Sekiranya diwujudkan fungsi khusus untuk melaksana dan memantau pelaksanaan strategi, pelan komunikasi ini akan menjadi tanggungjawab orang-orang yang menjalankan fungsi berkenaan. Sekiranya pelaksanaan strategi dikoordinasi dan dipantau terus dari pejabat CEO, maka CEO kena buat keputusan siapa yang akan bertanggungjawab bagi menjayakan komunikasi di peringkat pelaksanaan strategi.

Ada beberapa perkara penting yang perlu dipersetujui di dalam membina pelan komunikasi ini:

  • Mesej-mesej yang mahu disampaikan di pelbagai peringkat pelaksanaan strategi;
  • Memilih jurucakap-jurucakap yang berotoriti di dalam perniagaan yang harus merangkumi CEO;
  • Menyediakan soal jawab yang mungkin menjadi relevan berdasarkan apa yang boleh dijangka bagi memudahkan isu-isu berbangkit diperjelaskan;
  • Proses mengumpulkan persoalan serta isu-isu berbangkit yang perlu diberikan respon segera bagi melicinkan pelaksanaan strategi; dan
  • Membentuk mesej-mesej baharu dari masa ke semasa berdasarkan peringkat pelaksanaan dan apa yang diperhatikan di lapangan.

Fungi komunikasi pelaksanaan strategi ini juga perlu bekerjasama dengan jabatan Komunikasi Korporat (jika ada) bagi mempastikan keselarasan mesej. Program-program biasa yang dianjurkan oleh jabatan Komunikasi Korporat perlu juga mengambil kira keperluan penyampaian mesej-mesej berkenaan pelaksanaan strategi.