Struktur Organisasi Kena Tampung Strategi

Tidak dinafikan ada perniagaan yang menyusun struktur organisasinya berdasarkan amalan di dalam industri. Oleh kerana di dalam perniagaan ada banyak fungsi-fungsi yang sama seperti pembuatan, pemasaran, sumber manusia dan kewangan, maka banyak perniagaan yang menyusun struktur organisasi berdasarkan fungsi-fungsi itu.

Persoalan yang perlu ditanya ialah adakah struktur organisasi yang dibentuk itu mampu memberi sokongan kepada strategi yang dirangka dan dilaksanakan? Ini penting bagi memudahkan pelaksanaan strategi kerana setiap strategi memerlukan kaedah sokongan yang berbeza.

Kita ambil contoh isu teknologi. Di dalam amalan biasa, teknologi mungkin dianggap sebagai satu perkhidmatan sahaja dan diletakkan di bawah jabatan perkhidmatan korporat. Walau bagaimana pun, sekiranya teknologi dijadikan sebagai satu teras strategi dan akan menjadi penjana nilai yang membezakan perniagaan dengan perniagaan yang lain, adakah melihat teknologi sekadar perkhidmatan ini mencukupi? Adakah teknologi memerlukan jabatannya sendiri dengan kepakaran yang berbeza?

Di dalam masa yang sama, penambahan jabatan atau fungsi akan menambah kos perniagaan. Oleh itu, satu soalan lain ialah sejauh mana perniagaan perlu mempunyai kepakaran dalaman dan sejauh mana pula ia boleh mendapatkan kepakaran melalui perkhidmatan pihak luar? Pensumberluaran atau outsourcing ini sudah menjadi satu ciri perniagaan moden.

Ada juga ketika yang mana strategi baharu dan penstrukturan semula organisasi mengakibatkan ada ahli pasukan yang sudah tidak diperlukan. Ini mungkin disebabkan fungsi mereka telah diambil alih oleh teknologi atau proses yang lebih efisyen tidak memerlukan ahli pasukan seramai dahulu. Tindakan susulan disebabkan kelebihan ahli pasukan ini perlu difikirkan terlebih awal sebelum ianya menjadi masalah kepada perniagaan.

Oleh yang demikian, apabila ada perubahan strategi, struktur organisasi perlu dikaji dan dinilai semula agar ianya benar-benar sesuai dengan strategi yang akan dilaksanakan. Sekiranya dibiarkan begitu sahaja, ada risiko ketempangan di dalam pelaksanaan strategi kerana kekurangan sokongan dan juga kepakaran dalaman yang diperlukan.