Untuk mencapai misi dan visi perniagaan, CEO kena membuat pelbagai pilihan strategik untuk membawa perniagaan ke tujuan yang ditetapkan. Pilihan-pilihan ini bergantung kepada pelbagai perkara yang dinamik dan berubah-ubah. Kejelasan pilihan strategik adalah keperluan utama bagi memandu ahli-ahli pasukan untuk mengejar perkara yang sama.
CEO perlu menerajui pembentukan strategi kerana dialah yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakannya. Strategi yang ditetapkan perlu diceritakan kepada ahli pasukan dan warga perniagaan agar mereka sedar dan faham akan peranan masing-masing. Jangan jadikan strategi sebagai satu misteri yang hanya diketahui oleh CEO. Ada kalanya, kita kena membawa pelbagai pihak yang berkepentingan di dalam strategi kita dan tentunya mereka juga perlu difahamkan akan peranan mereka.
Pemasaran adalah asas strategi yang penting kerana ianya merangkumi pilihan-pilihan yang menjadi asas perniagaan seperti nilai yang hendak ditawarkan, segmen pasaran, persaingan dan bagaimana nak menjadikan tawaran perniagaan menjadi pilihan pelanggan. Ini adalah satu ruang yang luas dan seorang CEO kena mempunyai kefahaman dan kemahiran asas di dalam menjadikan pemasaran asas kepada strategi.
Mahu tidak mahu CEO kena menerima hakikat bahawa ada banyak lagi perniagaan di luar sana yang cuba memasuki ruang pasaran yang sama. Ini memerlukan perniagaan menetapkan elemen-elemen persaingan yang mahu diungguli bagi membolehkan sumber perniagaan digunakan untuk menjadikan perniagaan mempunyai daya saing yang tinggi. Kejelasan berkenaan elemen persaingan ini juga penting bagi membolehkan ahli-ahli pasukan fokus kepada pembentukan dan pengukuhan elemen-elemen strategik berkenaan supaya mencapai tahap yang disasarkan.
Proses pembentukan strategi serta alatan-alatan yang digunakan untuk membentuk strategi akan juga mempengaruhi kualiti strategi yang dibentuk. Ini meliputi data dan maklumat yang diambilkira, andaian-andaian yang menjadi asas strategi serta bacaan berkenaan bagaimana suasana yang menyelubungi perniagaan berubah di sepanjang jangka waktu strategi berkenaan. Di antara perkara yang sukar untuk diramalkan ialah bentuk persaingan yang mungkin wujud dari pelbagai pihak yang mahu memasuki segmen pasaran pilihan kita itu.

Strategi juga mempunyai hubungan yang rapat dengan model perniagaan yang diguna pakai terutamanya di peringkat pelaksanaan strategi. Penjajaran ini mustahak agar pilihan-pilihan strategik yang dibuat di dalam pembentukan strategi mengukuhkan lagi susunan yang ada di dalam model perniagaan bagi membolehkan perniagaan benar-benar beroperasi sebagai satu badan yang mantap.
Oleh kerana strategi dibentuk berdasarkan pelbagai andaian, tentunya ada banyak risiko strategik yang boleh menyebabkan strategi yang dipilih boleh terhalang pelaksanaan dan pencapaiannya. Di antara 3 risiko strategik utama ialah:
- Risiko permintaan ke atas produk
- Risiko persaingan yang tidak diduga
- Risko keupayaan yang disalah duga
Kehebatan mana-mana strategi yang dipilih bergantung kepada setakat mana strategi yang dirangka itu dilaksanakan dengan berkesan. Di sini CEO perlu menetapkan langkah-langkah pelaksanaan bersama ahli-ahli pengurusan kanan yang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang lebih khusus. Dana dan sumber yang mencukupi juga perlu bagi membolehkan langkah-langkah pelaksanaan yang ditetapkan boleh dijalankan seperti yang dirancang.
Suasana ekonomi dan perniagaan yang sentiasa berubah-ubah perlu diteliti untuk mengenal pasti risiko yang mendatang dan peluang yang ada. Sekiranya perlu, pelarasan dibuat ke atas strategi bagi membolehkan perniagaan mengambil manfaat dan mengawal apa yang merisikokan.
Penilaian prestasi perniagaan yang berkesan amat penting bagi memahami di manakah kedudukan perniagaan berbanding dengan apa yang disasarkan di dalam strategi yang dilaksanakan. Di dalam perkara ini, penilaian hendaklah dilakukan secara objektif dan bukannya hanya mahu menerima apa yang baik sahaja.
Dengan adanya minda strategik, CEO akan menjadi pemain utama di dalam membawa perniagaan ke tahap yang lebih cemerlang.
Sila tonton video ringkas berkenaan Minda Strategik.
Perbezaan di antara memiliki Minda Strategik dengan Pengurusan Strategi dibincangkan di sini.
Bagi memahami dengan lebih terperinci berkenaan strategi perniagaan, sila rujuk kepada Pusat Strategi Minda CEO yang dibentuk khusus untuk memperincikan lagi perkara-perkara berkenaan pengurusan strategi.
