Membina aspek-aspek perniagaan bagi membolehkan matlamat strategiknya dicapai adalah tugas utama CEO. Tanpa asas-asas yang kukuh dan berfungsi, perniagaan tidak akan mampu bertahan lama.

Seorang CEO perlu nampak jelas apa yang harus dia bina dengan merujuk kepada strategi dan juga realiti yang ada. Memberi fokus kepada apa yang penting dan kritikal dahulu adalah satu perkara yang mustahak kerana mana-mana perniagaan pun ada hadnya dari segi dana dan juga sumber-sumber lain termasuk modal insan yang mempunyai kepakaran yang diperlukan. Susunan yang dipilih oleh CEO ini akan menentukan keupayaan yang ada di dalam perniagaan mampu untuk melaksanakan strategi dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Seorang CEO perlu membezakan di antara bekerja ke atas perniagaan dengan bekerja di dalam perniagaan. Minda pembina akan menjadikan CEO fokus untuk bekerja ke atas perniagaan dan membina komponen-komponen penting perniagaan seperti yang ditetapkan di dalam model perniagaan. Jika seorang CEO itu asyik dengan kemahiran yang dia ada, dia akan terbawa-bawa dengan perkara berkenaan dan lebih fokus kepada berada di dalam perniagaan.

4 perkara asas yang perlu dibina oleh CEO di dalam memacu perniagaan ke tahap yang mahu dicapai

Polisi adalah cerminan falsafah yang ada di dalam strategi. Dengan adanya polisi yang jelas, mudahlah warga perniagaan memahami apa yang dipentingkan dan apa yang perlu dijauhi.

Di dalam mana-masa perniagan, pembentukan pasukan pengurusan perlu didahulukan. Tanpa pasukan yang mantap menyokong CEO, CEO akan menghadapi pelbagai cabaran secara bersendirian. Tidak ada CEO yang mampu melakukan apa yang diperlukan oleh perniagaan secara berseorangan. Pasukan yang dibina bukan sahaja perlu disusun selari dengan strategi perniagaan tetapi kena sentiasa ditambah baik malah dikekalkan. Mereka juga perlu diterapkan dengan budaya yang sihat di bawah didikan dan pimpinan CEO. Apabila CEO mendelegasikan sebahagian dari tugasnya kepada ahli pasukan yang layak, ini akan memberikan CEO lebih masa untuk menumpukan kepada perkara-perkara lain yang lebih strategik dan berimpak tinggi.

Pembentukan pelbagai infrastruktur, sistem dan proses perniagaan penting untuk merealisasikan sasaran strategik yang dituju. CEO kena maklum akan garis asas yang perlu diadakan di dalam perniagaan sebelum membina perkara-perkara yang lebih besar dan mencabar. Pelaburan di dalam aset-aset kritikal perlu disusun dengan rapi agar kena dengan keperluan perniagaan dan juga dana yang ada. 

Sistem kewangan yang berkesan juga diperlukan agar perniagaan dibekalkan dengan modal yang diperlukan serta lain-lain keperluan kewangan perniagaan dapat diuruskan dengan kaedah yang terbaik. Semakin besar dan kompleks perniagaan, sistem kewangan yang diperlukan juga akan menjadi kompleks. Tanpa sistem kewangan yang bersesuaian, susah bagi perniagaan untuk menilai prestasi dan kedudukan kewangannya di samping mempastikan perniagaan sentiasa mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai pelbagai kehendak operasi. Walaupun seorang CEO dibantu oleh pegawai-pegawai kewangan yang ada, dia juga mestilah celik kewangan kerana kebanyakan keputusan-keputusan perniagaan ada implikasi kewangan.

Perniagaan juga perlu mematuhi pelbagai peraturan, undang-undang, kontrak dan komitmen yang lain. Infratruktur pematuhan yang berkesan akan mempastikan perniagaan tidak terganggu disebabkan kegagalan mematuhi kesemua ini. Ini adalah sebahagian dari sistem dan proses yang perlu dibina oleh CEO.

Walaupun seboleh-bolehnya pembinaan pelbagai keperluan perniagaan ini mahu disusun dengan tertib, realiti yang menyelubungi perniagaan akan membawa tekanan supaya kebanyakkannya dibina secara serentak. CEO juga kena sedar bahawa kebanyakan perkara ada jeda kematangannya yang tersendiri. Jadi, menetapkan apa yang perlu dan melewatkan apa yang boleh dibawa ke hadapan merupakan di antara perkara yang perlu ditentukan oleh CEO di dalam membina perniagaan dan mencapai matlamat strategiknya.

Sila tonton video ringkas berkenaan Minda Pembina.