Celik Di Dalam Hal Ehwal Kewangan

Di dalam masyarakat moden, sistem kewangan memainkan peranan yang penting bagi membolehkan pelbagai transaksi berlaku untuk memenuhi kehendak dan keperluan kita sebagai insan.

Memahami hal ehwal kewangan (financial literacy) merupakan satu keperluan penting bagi seseorang itu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang CEO sebuah perniagaan mahu pun lain-lain organisasi. Ini tidak bermakna CEO tu kena jadi seorang akauntan atau pun ahli ekonomi tetapi kena mempunyai ilmu dan kemahiran agar dia boleh faham kesan keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang di ambil ke atas prestasi dan kedudukan kewangan perniagaan.

Di United Kingdom, mana-mana penjawat awam yang mahu dijadikan kakitangan kanan diwajibkan untuk mengambil kursus-kursus kewangan. Ini adalah kerana sebarang tindakan penjawat awam di dalam segala hal mempunyai implikasi kewangan kepada kerajaan, walaupun kerjanya hanya menyelamatkan nyawa manusia sahaja. Kewangan ada di mana-mana.

Bagi pemegang saham, faedah dari keuntungan perniagaan yang dilaburnya ialah dividen yang diterimanya dan keuntungan modal jika dia menjual saham perniagaan berkenaan. Dividen hanya boleh dibayar jika perniagaan untung. Keuntungan ini pula ditentukan berdasarkan kepada kaedah perakaunan yang terpakai kepada perniagaan berkenaan. Jika perniagaan merupakan sebuah syarikat tanggungan terhad (limited liability company), ianya tidak boleh membayar dividen sekiranya tidak mempunyai aliran tunai yang kukuh (solvency).

Mahu tidak mahu, seorang usahawan yang berfungsi sebagai CEO perniagaannya kena sentiasa menambahkan ilmu dan kemahiran di dalam bidang kewangan ini. Ini boleh di dapati dengan hadir ke kursus-kursus khas berkenaan kewangan kepada pengurus atau pun mengambil program-program pengurusan tinggi yang biasanya akan ada komponen pengurusan kewangan.

Di samping itu, CEO kena pastikan di dalam perniagaannya ada orang yang boleh mengurus hal ehwal kewangann dengan baik. Bagi perniagaan yang besar, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) membantu CEO di dalam, antaranya:

  1. Mempastikan perniagaan mempunyai modal yang cukup untuk membiayai operasi dan pembesaran perniagaan
  1. Menyusun aliran tunai supaya perniagaan mampu menjelaskan komitmen kewangan kepada pihak ketiga bila tiba masanya
  1. Mempastikan laporan kewangan menggambarkan prestasi dan kedudukan kewangan yang sebenar
  1. Menyediakan bajet tahunan berdasarkan strategi perniagaan dan melaporkan perbezaan di antara prestasi sebenar dengan bajet serta membuat analisa-analisa dan cadangan berdasarkan prestasi semasa perniagaan
  1. Mengunjurkan prestasi dan kedudukan kewangan di dalam satu tempoh yang munasabah di masa hadapan dengan mengambilkira perkembangan semasa supaya tindakan susulan yang sewajarnya boleh ditetapkan
  1. Melabur lebihan dana supaya ianya membawa pulangan tambahan dan tidak terbiar begitu sahaja
  1. Mempastikan projek-projek atau pun pelaburan baharu perniagaan dinilai berdasarkan data-data dan fakta yang betul dan kesan kewangan kepada perniagaan difahami sebelum diluluskan untuk dilaksanakan

Tanpa maklumat dan pandangan kewangan yang berkualiti, seorang CEO akan menguruskan perniagaannya di dalam gelap dan membuat keputusan yang boleh memakan diri di masa hadapan. CFO yang berkemampuan, jujur dan bijak berkomunikasi adalah kawan yang amat diperlukan oleh CEO.

Pengurusan kewangan mana-mana perniagaan memerlukan disiplin yang tinggi dan tidak boleh dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang mempunyai kepentingan yang berbeza. CEO kena pastikan bahawa apa sahaja yang dilaporkan kepada lembaga pengarah adalah tepat berdasarkan kedudukan semasa. Ini akan membantu lembaga pengarah untuk membuat keputusan atau pun memberi pandangan yang sesuai dengan kepentingan syarikat.

Banyak syarikat-syarikat besar yang sudah bungkus kerana pengurusan kewangan yang lemah dan pelaporan kewangan yang dimanipulasi agar nampak cantik walaupun perniagaan sebenarnya menghadapi masalah.

Andrew Fastow, CFO Enron yang dipenjarakan kerana manipulasi kewangan dan perakaunan pernah ditanya mengapa ahli lembaga pengarah Enron membiarkan aktiviti perniagaan yang membahayakan dijalankan oleh Enron. Dia menjawab “mereka merasionalkan tindakan itu”. Ini bermakna, emosi dan perasaan kita akan mempengaruhi tindakan jika ianya selari dengan kepentingan kita. Jadi, data dan fakta kewangan yang betul dan telus diharapkan akan menjadi pendinding kepada sifat kerakusan manusia yang semula jadi ini.

Tidak kira latar belakang usahawan yang berperanan sebagai CEO, dia kena menguruskan perniagaan supaya mencapai kedudukan kewangan yang kukuh. Dengan celik kewangan, dia lebih faham kesan tindakannya ke atas perniagaan dan akan lebih berkemampuan untuk mencapai matlamat perniagaan melalui strategi yang telah ditetapkan.