Delegasi

Kita telah membincangkan bagaimana seorang CEO kena berusaha “ke atas” perniagaannya. Ini bermakna dia kena banyak bekerja melalui pasukan pengurusan yang ada di samping pihak-pihak lain yang berkenaan.

Ini bermakna seorang CEO kena pandai mendelegasi fungsi-fungsi penting kepada orang-orang lain yang mampu melaksanakannya dengan cemerlang. 

Sebagai ketua pegawai eksekutif, tanggunjawab untuk menguruskan perjalanan perniagaan terletak di bahu CEO. Pengurusan kanan membantu CEO di dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Inilah sebabnya memilih orang-orang yang mempunyai ilmu, kemahiran dan nilai yang berkenaan penting bila seorang CEO membina pasukan pengurusannya.

Satu perkara penting bila seorang CEO mendelegasikan tugas kepada orang lain ialah CEO berkenaan tidak boleh berlepas tangan 100% atau apa yang Omputih kata “abdicate”. Walaupun orang yang menerima delegasi itu ada kemahiran dan kekuatannya yang tersendiri, CEO masih bertanggungjawab ke atas perniagaan secara keseluruhan. Jika satu fungsi tidak berjalan dengan baik, perniagaan boleh terjejas sama. 

Dari pengalaman saya, ada beberapa perkara penting yang perlu kita penuhi bila mahu mendelegasi sesuatu kepada orang lain:

  1. Orang yang didelegasi itu mempunyai kemampuan untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Jika dari awal kita tahu dia tidak mampu, meneruskan delegasi boleh membawa masalah. Ini adalah cabaran utama CEO jika satu fungsi itu diduduki oleh orang yang tidak mempunyai ilmu, kemahiran dan nilai yang sesuai.
  1. Skop delegasi mestilah jelas dan dipersetujui oleh kedua belah pihak. Arahan yang kabur akan merumitkan orang yang menerima tanggungjawab untuk melaksanakannya. Salah faham berkenaan apa yang dimahukan oleh CEO juga boleh menyebabkan orang yang menerima delegasi mencapai sesuatu yang berlainan pula.
  1. Orang yang menerima delegasi mestilah diberikan apa yang diperlukan untuk melaksankan apa yang dia harus buat. Ini termasuk kuasa, dana, kakitangan sokongan dan lain-lain lagi yang berkenaan. Dia tidak boleh ditinggalkan berseorangan tanpa apa-apa sokongan yang diperlukan.
  1. CEO tidak boleh menukar fikiran di tengah jalan dan mahu perkara yang berbeza dari apa yang dipersetujui sebelum itu. Jika ini berlaku, memang susah untuk mencapai yang yang dimahukan. Sebaliknya, jika perlu sasaran yang baharu, kedua-dua pihak kena bersetuju apa dan bagaimana ianya boleh dicapai dengan sumber dan masa yang ada.
  1. Jangan tembak pasukan sendiri dari belakang. Ini biasanya berlaku jika apa yang dimahukan gagal dicapai oleh orang yang menerima delegasi. Bila perkara demikian dilaporkan kepada lembaga pengarah dan mereka memberikan maklum balas negatif, CEO kena ambil tanggungjawab dan jangan pula mengkritik pegawai berkenaan. Dia sebenarnya mengkritik keputusannya sendiri. Kalau nak marah pun, biarlah terhad di dalam pertemuan empat mata sahaja.

Kita kena ingat, apa saja tingkah laku kita sentiasa diperhatikan. Jika kita tidak memberikan kejelasan kepada orang lain atau tidak mengambil tanggungjawab, ahli pasukan lain akan mengubah cara kerja mereka dengan kita berdasarkan perangai dan sikap kita. Ini mungkin tidak baik kepada pernigaan.

CEO yang tidak pandai seni delegasi ini akan ke sana ke sini mengejar banyak perkara termasuk perkara operasi menyebabkan dia tidak mempunyai banyak masa untuk menguruskan perniagaan secara menyeluruh.  Jika dia main delegasi tanpa mengambil kira perkara-perkara di atas, dia menanggung risiko banyak perkara tidak menjadi.

Kemahiran delegasi ini amat penting supaya CEO boleh menumpukan perhatiannya kepada perkara-perkara strategik dan membina hubungan dengan pihak-pihak berkepentingan demi kepentingan perniagaan. Namun, CEO kena tahu apa yang dia kehendaki dan mendelegasi kepada orang yang mampu melaksanakan peranan demikian lebih baik dari jika ianya dilakukan oleh CEO itu sendiri.