Satu konsep penting yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seseorang CEO ialah dia kena berusaha “ke atas” perniagaanya, bukan berusaha “di dalam” perniagaan.
Apakah bezanya “berusaha ke atas” perniagaan berbanding dengan “berusaha di dalam” perniagaan?
Usahawan yang mengasaskan perniagaan biasanya ada ilmu dan kemahiran tertentu. Jika mereka merupakan pencipta produk atau mempunyai kemahiran di dalam pengilangan, biasanya mereka lebih menumpakan kepada bidang ini di awal-awal perniagaan. Jika mereka pula merupakan pemasar yang baik, tumpuan mereka mungkin lebih kepada pemasaran pada peringkat awal perniagaan.
Oleh kerana keusahawanan adalah satu bidang yang sukar dan mencabar, memang logiklah usahawan menggunakan kepakaran mereka bila memulakan perniagaan. Namun, seperti yang kita semua maklum, isu-isu perniagaan sentiasa berubah-rubah selari dengan perkembangan perniagaan dan juga persekitaan perniagaan. Bila ini berlaku, apa yang diperlukan untuk terus memajukan perniagaan tidak terhad kepada apa yang CEOnya mahir dan pandai sahaja.
Bagi CEO yang memulakan perniagaan di fungsi pengeluaran, dia kena juga fikir berkenaan modal insan bila kakitangan bertambah dan pemasaran jika mahu memperkembangkan perniagaan. Bagi yang fokus kepada pemasaran sahaja, bila pasaran semakin meluas dia kena pastikan pengeluaran tidak tersekat, kualiti bagus dan menguruskan modal pusingan. Semakin besar perniagaan, semakin kompleks pulalah cabaran-cabarannya.
Bila sampai ke peringkat ini, seorang CEO kenalah mula “berusaha ke atas” perniagaannya. Dia kena memahami dan mula menangani isu-isu strategik, memikirkan tentang perlaksanaan strategi, mempastikan kakitangan sentiasa bekerja seperti yang dikehendaki, modal perniagaan kena cukup, pemasaran sentiasa berjalan dan berkesan, perniagaan kena mematuh peraturan dan pelbagai perkara lagi.
Dia tidak boleh terus fokus kepada apa yang dia pandai dan suka seperti pengeluaran atau pun pemasaran sahaja dan terus “berusaha di dalam” perniagaan dan membiarkan perkara-perkara lain diselesaikan oleh orang lain tanpa panduan dan arahan darinya. Biasanya inilah salah satu cabaran usahawan yang berfungsi sebagai CEO. Mereka lebih suka berada di dalam zon selesa dan buat apa yang mereka minat sahaja sedangkan kepimpinan dan keputusan mereka diperlukan di dalam menguruskan pelbagai isu perniagaan yang lain.
Jika perniagaan merupakan sebuah kapal yang besar, siapakah yang menentukan kapal tersebut belayar dengan selamat dan sampai ke destinasi yang dituju? Tentulah kaptennya kan? Memanglah ada ramai orang lain yang menguruskan pelbagai fungsi di atas kapal berkenaan. Namun, semua mereka bekerja di bawah arahan kapten.
Di mana duduknya kapten di dalam pelayaran? Di kebanyakan masa dia berada di ruang navigasi, mempastikan kapal dituju ke arah yang betul, mentelaah maklumat-maklumat dan data-data penting dan membuat keputusan-keputusan perlu dan memberi panduan kepada anak-anak buahnya di dalam menjalankan peranan masing-masing.
Walaupun enjin adalah komponen penting bagi mempastikan kapal boleh terus belayar, kapten tidak duduk di situ. Ada jurutera khusus yang menjaga enjin dan mempastikan ianya sentiasa beroperasi seperti yang dimahukan. Jika kapten seorang jurutera sekali pun, dia tidak boleh berebut tugasan dengan jurutera yang menjaga enjin. Itu bukan kerja kapten.
Memanglah seorang kapten kapal akan turun juga ke pelbagai bahagian kapal untuk melihat sendiri apa yang berlaku dan melayan penumpang dan anak-anak buah. Ini semua dibuat untuk mempastikan pelayaran berjalan dengan baik, sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai kapten.
Peranan seorang usahawan yang memegang kedudukan CEO di dalam perniagaan samalah dengan kapten tadi. Di tahu arah tuju perniagaan, mempastikan apa yang berlaku di dalam perniagaan sesuai dengan strategi yang ditetapkan, buat keputusan-keputusan penting serta sentiasa mendorong dan memberi maklum balas kepada orang lain agar perniagaan sentiasa di landasan yang betul.
Seperti yang dibincangkan sebelum ini, adalah penting orang-orang yang mempunyai ilmu dan kelayakan tertentu dibawa masuk untuk menguruskan fungsi-fungsi penting di dalam perniagaan. Ini akan membebaskan CEO dari tugasan-tugasan operasi dan fokus untuk “berusaha ke atas” perniagaan.
Seorang CEO juga kena sentiasa menambah ilmu dan kemahiran, bukan untuk buat semua perkara, tetapi untuk membolehkan dia tahu perkara penting apakah yang memerlukan perhatiannya. Pengurusan perkara berkenaan boleh dijalankan oleh orang lain yang lebih berkemahiran.