Ramai orang mungkin tidak sedar bahawa membina hubungan di dalam dan luar perniagaan adalah di antara tugas terpenting seorang CEO. Ini adalah kerana sekiranya CEO mempunyai ahli pasukan yang mantap dan mewujudkan sistem dan proses yang memandu ahli pasukan berkenaan ke arah yang satu, dia boleh melepaskan kebanyakan urusan harian perniagaan kepada ahli pasukannya dan dia boleh menggunakan lebih masa untuk membina jaringan di dalam dan luar perniagaan.

Ahli lembaga pengarah dan ahli pasukan adalah dua golongan utama di dalam perniagaan yang perlu disantuni oleh CEO dengan berkesan. Sekiranya mereka benar-benar menyokong apa yang diusahakan oleh CEO berkenaan, banyak cabaran dalaman yang boleh diselesaikan.
Di dalam masa yang sama, ada pelbagai pihak di luar perniagaan yang mempunyai kepentingan ke atas perniagaan. Ada yang mempunyai hubungan komersil dan ada juga yang mempunyai kepentingan lain seperti pematuhan undang-undang dan penjagaan alam sekitar. Ada juga pihak berkepentingan ini yang berada di luar negara dengan ragam dan perangai yang berbeza.
CEO kena merancang tahap hubungan dengan kesemua pihak yang dikira penting untuk perniagaan dan mengukuhkan hubungan berkenaan walaupun mungkin ada percanggahan kepentingan yang tidak boleh dielakkan. Semakin lebar dan kukuh hubungan yang dibentuk oleh CEO, semakin mudah perniagaan dijalankan kerana hubungan yang kukuh boleh menyebabkan kerumitan diatasi dengan pendekatan yang lebih praktikal.
Sila tonton video ringkas berkeaan Minda Penghubung.