ni merujuk kepada pengurusan proses di sepanjang rantaian bekalan perniagaan dari pembelian bahan mentah, proses pengilangan dan pengeluaran dan penghantaran kepada pembekal atau pelanggan mengikut piawaian dan tahap kualiti dan perkhidmatan yang telah ditetapkan. Bagi perniagaan yang berasaskan perkhidmatan pula, rantaian bekalannya agak berbeza yang mana nilai yang dijana kepada pelanggan lebih dipengaruhi oleh tenaga insan dan teknologi.
Setiap operasi biasanya ada tujuan, proses, masukan dan keluaran berdasarkan tahap kualiti dan pencapaian yang ditetapkan. Ada proses yang dijalankan oleh manusia sepenuhnya, ada yang dijalankan oleh mesin dan ada yang menggabungkan kedua-duanya. Ada juga proses yang memerlukan sumbangan pihak ketiga seperti perkhidmatan pengangkutan bagi menghantar barangan ke kedai untuk dijual.



Di antara perkara penting di dalam pengurusan operasi ialah pengurusan rantaian bekalan. Perkara ini mempengaruhi secara lansung kos, kualiti dan kepuasan pelanggan. Misalnya, kita bukan sahaja perlu mengetahui siapa pembekal kita tetapi siapa yang membekalkan barangan yang menjadi komponen kepada pembekal berkenaan. Jika ada di antara pembekal yang ada di dalam rantaian bekalan kita berada di luar negara, faktor-faktor yang mempengaruhi perniagaan kita akan menjadi lebih banyak seperti kadar pertukaran asing, logistik, peraturan luar negara dan bekalan buruh di negara-negara berkenaan.
Rajah di atas memetakan pembekal dan bahan yang digunakan didalam proses pembuatan barangan yang dikeluarkan oleh satu perniagaan.
Tiga perkara yang penting di dalam pengurusan operasi ialah kecekapan, kualiti dan kos. Kecekapan operasi merujuk kepada penggunaan sumber seperti buruh atau kewangan bagi setiap proses untuk mengeluarkan produk dengan fungsi dan ciri yang ditetapkan. Kecekapan proses akan mempengaruhi kos pengeluaran manakala kualiti pula akan mempengaruhi kepuasan pelanggan dan pembentukan jenama perniagaan.
Untuk melicinkan operasi, perlu diadakan piawaian susunatur operasi yang merangkumi bagaimana proses dijalankan dan kualiti yang perlu dicapai supaya setiap ahli pasukan yang terlibat tahu tujuan, peranan, proses dan pencapaian yang harus diikuti dan dicapai. Piawaian ini perlu juga dikemaskini dari masa ke semasa bersesuaian dengan proses, teknologi dan kehendak produk atau perkhidmatan.
Bagi perniagaan yang mula matang, mendapatkan pengesahan proses mereka merupakan satu perkara yang utama. Pelanggan juga mungkin memberi syarat bahawa cara pengeluaran atau penjanaan nilai kita memenuhi piawaian antarabangsa yang berkenaan.
Biasanya operasi yang melibatkan pengeluaran lebih kompleks berbanding dengan proses penjanaan perkhidmatan. Ini perlu difahami supaya usahawan lebih maklum akan operasi utama yang kritikal di dalam perniagaan mereka.
Banyak juga perniagaan sekarang yang mana barangan dan perkhidmatan diperlukan untuk melengkapkan nilai di mata pelanggan. Pembuatan dan penjualan kereta memerlukan perkhidmatan selepas jualan yang baik, seperti pembaikan kereta pada kos yang berpatutan, untuk bersaing di dalam industri kereta yang amat tinggi tahap persaingannya.
Di samping menstrukturkan perniagaan supaya operasinya berjalan dengan baik, persediaan haruslah dirangka sekiranya ada ganguan di dalam operasi disebabkan pelbagai perkara seperti ketiadaan elektrik dan juga kerosakan infrastruktur yang lain. Ini termasuk platfom-platfom pihak ketiga yang digunakan sebagai tunggak operasi perniagaan. Pelan penerusan perniagaan (business continuity plan) adalah di antara perancangan yang mesti ada bagi mempastikan operasi tidak tergendala sehingga menjejeskan perniagaan dengan teruk.