Risiko kebergantungan kepada platfom tunggal

Ketiadaan perkhidmatan platfom-platfom yang dimiliki oleh Facebook hari ini tentunya menjejaskan perniagaan orang-orang yang bergantung kepada Facebook, Whatsapp dan juga Instagram untuk memasarkan produk serta menyempurnakan jualan. Ini termasuk perniaga-peniaga kecil yang berjual dari rumah. Tanpa platfom media sosial yang beroperasi, banyak proses perniagaan akan tergendala.

Keadaan hari ini menyerlahkan risiko bergantung kepada satu platfom atau pun platfom-platfom yang dimiliki oleh satu syarikat di dalam membentuk sistem dan proses perniagaan kita. Inilah sebabnya kita kena adakan sistem pendua dengan platfom yang berbeza agar gangguan satu sistem tidak menjejaskan operasi perniagaan.

Walau bagaimana pun keberkesanan sistem pendua itu bergantung juga kepada setakat mana platfom itu digunakan oleh pelanggan atau pun rakan niaga. Contohnya, sekiranya sistem utama menggunakan Whatsapp manakala sistem pendua menggunakan Telegram, ramai manakah pelanggan menggubanakan Telegram? Walaupun sistem perniagaan kita kekal beroperasi, tidak ada gunanya jika tidak ada pesanan kerana hampir kesemua pelanggan menggunakan sistem yang berlainan. Oleh itu, sistem pendua mestilah mengambilkira realiti yang ada di dalam pasaran, bukannya semata-mata di atas pilihan kita.

Perancangan penerusan perniagaan (business continuity planning) ini kena difikirkan di zaman aman, bukan di ketika krisis seperti hari ini. Ini adalah kerana tujuan perancangan ini bukan terhad kepada penerusan sistem dan operasi dalaman perniagaan tetapi bertujuan supaya pemasaran, jualan, belian dan pembuatan tidak terjejas. Di dalam perniaga akan ada keadaan-keadaan seperti ini. Ada perniagaan yang akan terjejas dan ada yang boleh beroperasi seperti biasa. Yang pentingnya ialah kita sentiasa belajar dan meningkatkan sistem dan proses yang ada agar perniagaan akan lebih lestari (sustainable) di dalam apa jua keadaan.

Ganguan bekalan air dan juga elektrik boleh menyebabkan perniagaan terhenti. Jadi, kena ada pihak di dalam perniagaan yang sentiasa mengawasi potensi ganguan dan juga mencari jalan bagaimana ganguan boleh diatasi.

Di antara tugas seorang CEO ialah sentiasa memandang ke hadapan. Jadi, dia kena peka dengan keadaan dan mempersiapkan perniagaan yang dipimpinnya untuk menghadapi apa jua cabaran yang boleh menjejaskan perniagaan termasuk sekiranya ada ganguan yang menyebabkan sistem operasi tidak berfungsi.