Sebuah perniagaan beroperasi di dalam ekosistem dan rangkaian bekalan yang lebih luas. Oleh itu, seorang usahawan yang menjalankan perniagaan tidak hanya mempunyai tanggungjawab ke atas perniagaannya saja tapi turut juga mempunyai tanggungjawab ke atas pihak-pihak yang berkepentingan. Oleh yang demikian, beliau perlu mengawasi perniagaannya agar ianya diurus dengan baik dan menjana nilai bukan saja kepada pemilik perniagaan tetapi turut memberi kebaikan kepada pihak-pihak yang berkepentingan seperti yang diterangkan sebelum ini.
Oleh yang demikian, usahawan atau pengarah mempunyai tanggungjawab pengelolaan, iaitu sentiasa mempastikan aset-aset dan sumber digunakan semata-mata untuk kepentingan perniagaan dan risiko-risiko yang dihadapi oleh perniagaan diuruskan dan dikawal agar ianya tidak membahayakan perniagaan. Mereka perlu sentiasa mempamirkan sikap yang selaras dengan amalan tadbir urus dan pengawasan yang baik.
Nada dari atas ini penting bagi mempengaruhi ahli pasukan dan pekerja yang lain. Sebarang percanggahan kepentingan perlu dielakkan dan para pengarah perlu diberi peluang untuk menyatakan pandangan masing-masing secara terbuka dan perbincangan diadakan di dalam suasana yang baik.
Mempastikan orang-orang yang layak diletakkan pada kedudukan yang bersesuaian adalah satu perkara utama di dalam melaksanakan tanggungjawab pengelolaan. Ini akan meningkatkan peluang perniagaan untuk mencpai matlamatnya. Prestasi mereka yang memegang amanah ini perlu sentiasa dinilai berdasarkan kepada strategi, pelan tindakan dan perkara-perkara lain yang ditetapkan lebih awal. Ini membantu supaya apa yang dirancangkan dilaksanakan dan hasil yang diharapkan tercapai.
Tanggungjawab pengelolaan juga memerlukan sistem dan proses yang baik dan berkesan diadakan dan dilaksanakan bagi mempastikan peluang dapat perniagaan diambil dan risiko diuruskan dengan berkesan. Pihak pengarah, misalnya, memerlukan maklumat yang berkenaan dan dibekalkan pada masa yang betul supaya mereka boleh membuat keputusan yang tepat. Ini tidak akan mereka perolehi jika sistem penggumpulan maklumat dan pelaporan yang ada di dalam perniagaan tidak direka dengan teliti dan dilaksanakan supaya maklumat yang bersesuaian dan tepat sampai kepada pengarah pada ketika yang bersesuaian.
Sesiapa sahaja yang ada tanggungjawab pengelolaan kena sentiasa memegang amanah yang diserahkan kepadanya dan mengambil tanggungjawab untuk melakukan apa yang betul. Ini bukan sahaja mencabar tetapi memerlukan keberanian yang tinggi kerana memertahankan kebenaran ada kesan yang perlu ditanggung.