Mengambil Tanggungjawab Dan Melakukan Apa Yang Betul

Oleh kerana seorang CEO adalah pegawai eksekutif tertinggi di dalam perniagaan, dia ada banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Ada tanggungjawab yang berbentuk istiadat (ceremonial) dan banyak juga yang mencabar dan sulit. Seorang CEO kena terima ini sebagai satu pakej dan tidak boleh memilih yang mudah dan glamour sahaja.

Sebagai pemimpin, seorang CEO kena ada kejelasan berkenaan halatuju perniagaan. Segala tindakan dan keputusan yang dilakukan mestilah selari dengan kepentingan perniagaan dan juga membawa perniagaan ke arah matlamat yang dituju. Dia kena “menjual” matlamat dan cara untuk mencapainya kepada semua orang di dalam perniagaan dan kena konsisten di dalam perkara ini.

Sebagai seorang pentadbir pula, CEO menyokong lembaga pengarah untuk mempastikan tadbir urus perniagaan kukuh dan berkesan. Dia bukan sahaja memberi sokongan kepada jawatankuasa-jawatankuasa seperti audit dan risiko tetapi kena berani menerima teguran walaupun dari ahli pasukan sendiri yang mengendalikan jabatan-jabatan bebas seperti audit dan pengurusan risiko. 

Di dalam aspek pengurusan pula, CEO kena membentuk dan melaksanakan strategi, memperkuatkan pemasaran, memupuk modal insan, mengukuhkan kewangan, melicinkan operasi dan mempastikan pematuhan undang-undang dan peraturan. Semua ini dilaksanakan secara berkumpulan dengan pengurusan kanan yang lain tetapi bebanan ini berakhir dengan CEO. Dia tidak boleh menyalahkan orang-orang di bawah kepimpinannya jika ada yang tak kena. 

Di dalam mengambil tindakan dan membuat keputusan, CEO perlu mempunyai maklumat yang bersesuaian dan mempunyai asas-asas dan prinsip yang kukuh. Dia kena meletakkan kepentingan organisasi di atas berbanding dengan kepentingan dirinya. Jika ini diamalkan, senanglah CEO menjelaskan dan mempeetahankan keputusannya kepada warga perniagaan dan pihak berkepentingan yang lain. Bila keputusan dibuat di atas asas yang salah, ianya boleh dihidu oleh orang lain dan kewibawaan CEO boleh tercalar.

Seorang usahawan yang memegang tanggungjawab CEO kena sedar bahawa keputusan yang betul tidak semestinya popular dan keputusan yang popular tidak semestinya betul. Jawatan CEO bukanlah jawatan yang menagih populariti dari sesiapa. Yang penting ianya membawa perniagaan ke matlamat yang dituju, menjana nilai kepada pelanggan dan pihak yang berkepentingan serta memberi pulangan yang munasabah kepada pemegang saham.

Melakukan apa yang betul memerlukan keberanian. Ramai orang yang tahu apa yang betul dan apa yang batil tetapi oleh kerana keputusan yang betul ada membawa risiko, mereka memilih yang sebaliknya. 

Kita ambil contoh memberi rasuah untuk mendapatkan projek. Saya yakin semua orang tahu rasuah itu bukan sahaja satu jenayah tetapi satu dosa yang boleh membawa ke neraka. Namun, oleh kerana takut tidak dapat projek dan perniagaan akan terlepas peluang untuk membuat keuntungan, ada yang memberi rasuah dengan tidak rasa bersalah. 

Ada juga ketikanya seorang CEO, terutama yang berkhidmat secara profesional, menerima tekanan untuk membuat keputusan dengan meminggirkan kepentingan perniagaan. Biasanya tekanan ini datang dari pihak yang lebih tinggi kedudukannya berbanding dengan CEO atau pun pihak luar yang ada pengaruh. Di ketika ini, CEO kena memilih samada untuk memegang prinsip atau pun mencari jalan selamat dengan meletakkan kepentingan pihak lain di atas kepentingan perniagaannya. Di sinilah keberanian menanggung risiko di dalam melakukan apa yang betul, termasuk kehilangan jawatan, perlu ada.

Di zaman media sosial ini, pihak luar juga boleh menekan perniagaan dengan membangkitkan isu-isu yang disensasikan walaupun fakta yang sebenarnya tidak seperti yang dihebohkan. Di dalam keadaan ini, CEO bukan sahaja kena pandai berkomunikasi tetapi kena berani mempertahankan apa yang benar. Berani tidak bermakna kena bertindak dengan agresif tetapi kena pandai memilih kaedah yang berkesan di dalam menjelaskan isu yang hangat itu.

Kejelasan arahtuju dan prinsip CEO akan memudahkan ahli pasukan yang lain untuk mengikutnya sebagai pemimpin. Mereka akan melaksanakan keputusan CEO dengan penuh yakin kerana tidak meragui prinsip yang dipegang oleh CEO berdasarkan apa yang mereka perhatikan sebelum itu. 

Seorang CEO tidak boleh teragak-agak atau pun menangguh-nangguhkan keputusan bila diperlukan. Ini bukan sahaja melambatkan operasi perniagaan tetapi boleh juga menimbulkan tekanan ke atas ahli pasukannya. Jika keputusan tergantung disebabkan CEO tidak berani membuat keputusan, banyak perkara di dalam perniagaan akan tergantung sama. Di dalam masa yang sama, anak buahnya boleh tertekan kerana mungkin ada pihak lain yang juga menekan mereka di sebebkan keperluan komersil atau pun ada had dalaman masa yang perlu dipatuhi. 

Kedudukan CEO sebagai pentadbir, pengurus dan pemimpin perniagaan memerlukan CEO untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan komitmen. Banyak keputusan-keputusan yang perlu dibuatnya mempunyai kesan yang besar ke atas perniagaan. Ada kalanya kedudukan CEO boleh tergugat bila mahu melalukan apa yang betul. Inilah risiko yang perlu ditanggung oleh seorang CEO yang berprinsip dan mahu meletakkan kepentingan perniagaan di atas kepentingan yang lain.