Pemimpin perlu mempunyai keupayaan komunikasi yang tinggi agar pengikut boleh memahami matlamat dan arah tuju perniagaan serta peranan mereka untuk membawa perniagaan ke matlamatnya. Keupayaan berkomunikasi dengan cara yang meyakinkan akan juga membantu dan mengeratkan hubungan dengan pihak berkepentingan.
Jika kita perhatikan syarikat-syarikat besar seperti Apple dan Google, kesemua Ketua Pegawai Eksekutif mereka merupakan jurucakap syarikat yang berpengaruh dan sentiasa boleh berdepan dengan pelbagai kumpulan pendengar dan mampu menjawab soalan-soalan dengan yakin.
Komunikasi yang efektif tidak terhad kepada apa yang diucapkan oleh usahawan selaku pemimpin tetapi merangkumi perbuatan sehariannya. Ini adalah kerana tindakan yang diambil oleh seseorang akan diperhati dan dibaca oleh orang yang berurusan dengannya atau pun orang-orang yang berada di sekelilingnya. Jika usahawan sentiasa berlemah lembut dengan pelanggan walaupun di dalam suasana yang tegang, mesej ini akan akhirnya membentuk budaya di dalam perniagaannya.
Apa-apa perkara yang sentiasa disebut-sebut akan memberi isyarat bahawa mereka penting dan mesti diambil peduli manakala jika ada perkara-perkara penting seperti kuali perkhidmatan tetapi tidak pernah disebut pun, lama-lama orang bawah akan anggap ini adalah satu perkara yang tidak perlu diberi perhatian oleh mereka.
Untuk berkomunikasi secara efektif, seorang usahawan perlu mampu membaca keadaan dan persekitaran agar dia maklum akan kaedah yang sesuai supaya mesejnya sampai, difahami dan menghasilkan tindakan yang diharapkan. Ketika menerangkan tentang strategi syarikat misalnya, usahawan perlu menunjukkan keyakinan kepada apa yang dirancang termasuk menggunakan data dan fakta yang menjadi asas kepada strategi yang dibentuk. Jika usahawan, sebagai pemimpin, tidak mempamirkan keyakinan yang bulat kepada arahtuju dan kaedah untuk mencapainya, macamana anak buah dan ahli pasukan yang lain akan terbeli strategi tersebut. Jika mereka tidak yakin, tentunya komitmen mereka untuk melaksanakannya juga akan berkurangan.
Jika berkomunikasi dengan pihak-pihak yang berlainan bangsa dan budaya, baiklah diperlajari dahulu apa yang perlu dijaga dan kaedah macamana yang akan menjadikan komunikasi berkesan, berdasarkan amalan di dalam budaya berkenaan.