Penampilan Diri dan Pengurusan Media

Tentunya seorang usahawan yang berperanan sebagai CEO itu secara lansung menjadi lambang kepada perniagaannya. Beliau akan sentiasa diperhatikan oleh pelbagai pihak terutamanya ketika beliau berinteraksi dengan pihak yang berkepentingan dari pelanggan, pekerja, penjawat awam, pembiaya, pembekal dan lain-lain.

Di samping mempunyai halatuju dan strategi perniagaan yang jelas dan mampu meyakinkan orang lain tentang pelbagai aspek perniagaan, ada dua ilmu yang banyak membantu saya di dalam membina kerjaya dan juga perniagaan. Bagaimana menampilkan diri saya dan bagaimana berinteraksi pelbagai media.

Ilmu berkenaan penampilan diri (grooming) bukannya nak menjadikan kita setanding dengan artis. Ianya lebih kepada memahami adab-adab dan cara membawa diri supaya kita senang didampingi oleh pelbagai pihak yang kita temui. Bila orang senang dan selesa dengan kita, lebih mudah untuk kita dapatkan keputusan yang kita hendak.

Di antara guru di dalam grooming ini ialah Puan Siak. Beliau pernah bertugas di United Nations dan kaedah beliau adalah dengan menggabungkan nilai-nilai Barat dan Timur termasuk penampilan bagi orang Islam.

Memanglah bila bercerita berkenaan penampilan kita kena faham berkenaan pemilihan warna pakaian, cara memilih gaya rambut, kaedah makan beradap dan sebagainya. Namun, Puan Siak menggaitkan semua ini dengan peranan kita sebagai seorang profesional.

Contoh yang penting ialah berkenaan kaitan di antara warna dan kuasa. Warna-warna gelap seperti hitam dan kelabu menampakkan kita sebagai seorang yang berkuasa. Sebab itulah hakim dan peguam memakai kot hitam di mahkamah. Semakin cerah warna yang kita pilih, semakin kurang kuasa yang kita tampilkan. 

Kombinasi kot hitam, baju putih dan tali leher merah adalah di antara gabungan pakaian yang amat menyerlahkan kuasa. Jadi, kita boleh memilih gabungan warna yang sesuai dengan apa yang kita nak buat. Pakaian semasa nak jumpa pelanggan mungkin berbeza dengan semasa nak jumpa pihak berkuasa. Walaupun persepsi orang ke atas kini lebih dipengaruhi oleh siapa kita sebenarnya, penampilan yang bersesuaian boleh menbantu di dalam membentuk imej yang positif dan bersesuaian.

Kebanyakan institusi dan perniagaan besar memberikan latihan media kepada lembaga pengarah dan pengurusan kanan mereka. Ini adalah kerana merekai kena berinteraksi dengan pelbagai pihak bukan sahaja di dalam negara tetapi di luar negara. Mahu tidak mahu, mereka akan berhadapan dengan media. Kemahiran berinteraksi dengan media adalah penting agar mesej yang mahu disampaikan kepada pihak luar sampai kepada mereka dengan tepat dan tidak ada salah lapor yang boleh menimbulkan isu.

Latihan media mempunyai aspek teori dan praktikal. Kita diajar untuk memahami apa yang suka dicari oleh media, apa yang difikirkan oleh wartawan apabila kita ditemu ramah dan bagaimana nak jawab soalan supaya apa yang kita mahu dipetik dan disiarkan dengan betul. Kemudian diadakan sesi temu ramah oleh wartawan dan sesi itu kemudiannya diulas oleh pelatih kami. 

Kita juga diajar bagaimana mahu bertindak apabila “diserbu” oleh wartawan secara spontan dan kena jawab soalan yang panas tanpa apa-apa persediaan. Kita kena ingat, jika kata “ya” sahaja kepada satu soalan yang panjang, wartawan boleh melaporkan “Nik telah berkata …(kandungan soalan)……..” Ini adalah satu kemahiran yang penting untuk kerjaya saya seterusnya. 

Memang ramai CEO yang takut untuk berhadapan dengan media dan ditemuramah secara bebas. Sebab itulah sebelum mana-mana temuramah, persiapan yang rapi perlu diadakan termasuk menyediakan jawapan kepada soalan-soalan lazim yang biasa ditanya di luar sana. Yang lebih mudah ialah keluarkan kenyataan akhbar sahaja. Habis cerita.

Teknik menjawab soalan ini banyak seorang CEO di dalam menjalankan tanggungjawabnya bila berhadapan dengan pelbagai pihak. Kemahiran ini bukan sahaja digunakan bila ditemuramah oleh media tetapi di dalam banyak keadaan lain seperti ketika bermesyuarat, membuat pembentangan mahu pun membuat kenyataan dalaman atau pun umum.

Walaupun ilmu asas di dalam latihan media boleh jadi menjurus kepada “media lama”, namun prinsip-prinsipnya masih terpakai di “media baharu” kerana yang akan mendengar, menonton dan membaca masih lagi manusia yang ada akal dan emosi. Cuma, kita kena cari ilmu media tambahan yang lebih bersesuaian dengan keadaan semasa yang lebih dinamik dan juga ganas.

Sebagai orang nombor satu di dalam pengurusan organisasi, seorang CEO kena sedar cara penampilan dan gelagatnya akan memberi kesan ke atas perniagaan. Apa yang dia kata di tempat awam mahu pun di dalam berbincangan empat mata akan membentuk persepsi ke atas perniagaan yang diterajui olehnya. 

Komunikasi tidak boleh dilepaskan kepada Jabatan Komunikasi Korporat semata-mata. CEO kena ambil tahu dan menerima hakikat bahawa dialah jurucakap utama bagi perniagaannya.

Dengan adanya ilmu berkenaan penampilan diri dan komunikasi dengan media, kita akan lebih bersedia untuk membina imej perniagaan yang positif.