Skop kerja sebagai seorang CEO ni amat luas. Ini adalah kerana seorang CEO perlu mentadbir, mengurus dan memimpin perniagaan. Dia juga kena berinteraksi dengan pelbagai jenis insan samada di dalam dan di luar perniagaan.
Pentadbiran menjurus kepada mempastikan perniagaan dijalankan dengan baik dan ada struktur semak imbang. Di antaranya ialah mewujudkan sistem kawalan dalaman dan pengurusan risiko, memilih barisan kepimpinan yang layak dan bersesuaian, ada audit yang berkesan dan budaya perniagaan yang sihat.
Di dalam menguruskan perniagaan, seorang CEO kena mampu menangani isu-isu strategi, pemasaran, operasi, insan, kewangan dan pematuhan undang-undang dan peraturan.
Sebagai seorang pemimpin, dia kena sentiasa memperkukuhkan ciri-ciri kepimpinanya seperti ilmu dan kemahiran, cara berkomunikasi, mempamirkan nilai jujur dan amanah serta menggunakan kuasa dan pengaruh dengan bijaksana. Di dalam setiap keadaan, seorang CEO kena berani melakukan apa yang betul walaupun ada kesan ke atas dirinya.
Berdasarkan kepada skop dan ruang yang perlu ditadbir, diurus dan dipimpin oleh seorang usahawan yang berperanan sebagai seorang CEO, mendapatkan pendidikan berterusan adalah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan. Ini membolehkan seorang CEO itu memperkukuhkan lagi bahagian-bahagian yang dia sudah bagus dan menutup ruang-ruang yang dia masih memerlukan bimbingan.
Untuk mendapatkan pendidikan berterusan ini ada pelbagai kaedah. Kita boleh memilih pendidikan formal seperti mengambil kursus-kursus jangka panjang mahu pun jangka pendek. Melalui kurus-kursus ini seorang CEO bukan sahaja boleh menambah ilmu dan kemahiran, dia juga boleh melebarkan jaringan kenalan dan sahabat dengan orang-orang yang menghadiri kursus yang sama.
Inilah di antara sebab mengapa kursus-kursus yang dianjurkan oleh institusi terkenal seperti Harvard, Oxford dan IMD menjadi pilihan pengurusan kanan perniagaan yang besar-besar. Selain dari kandungan kursus yang kontemporari, peserta-peserta lain adalah sumber perniagaan yang penting kerana kedudukan mereka di dalam organisasi masing-masing dari berada di serata dunia.
Banyak juga ilmu-ilmu yang penting oleh seorang CEO yang boleh di dapati secara dalam talian. Kena rajin dan ada kemahuan sahaja. Kaedah ini lebih fleksibal dan bersesuaian dengan keadaan kebanyakan seorang CEO yang sentiasa sibuk.
Corak pendidikan terbaharu ialah “micro credential” atau pun kelayakan mikro. Ini wujud hasil dari jurang di antara kelayakan akademik dan keperluan industri. Bila pihak akademik lambat atau tidak menyediakan kelayakan yang diperlukan oleh industri, pihak industri sendiri akan menawarkan program-program pendek yang menjadikan orang-orang yang mengambil program ini layak untuk bekerja di dalam industri berkenaan. Jadi, carilah kelayakan mikro yang sesuai dengan keadaan anda sebagai seorang CEO.
Satu lagi amalan CEO-CEO perniagaan besar-besar ialah dengan mempunyai coach masing-masing. Seperti coach pasukan bolasepak, mereka bukannya bermain tetapi boleh memberikan gambaran dan idea kepada para memain untuk mencapai kemenangan di atas padang.
Peranan seorang coach yang membantu CEO ialah untuk membantu CEO memperkukuhkan kemahiran mereka di dalam mentadbir, mengurus dan memimpin perniagaan. Seorang coach tidak mengajar tetapi membantu CEO untuk meningkatkan potensi dirinya yang belum digunakan sepenuhnya. Walau bagimana pun, CEO kena berusaha sendiri ke atas dirinya, baru berjaya. Bagi yang tak ada potensi, memang susah nak ditolonglah.
Oleh kerana persekitaran perniagaan sentiasa berubah dan ada kesan ke atas perniagaan, ilmu dan kemahiran yang diperlukan juga akan turut berubah. Bagi CEO yang sudah rasa dirinya okay pun tidak dapat lari dari menjadi seorang pelajar yang berkekalan. Jika tidak, dia akan meneruskan perkara-perkara yang mungkin sudah tidak sesuai dengan realiti yang ada.
Seorang CEO kena menerima hakikat bahawa sebagai seorang insan, dia bukan Superman. Ada banyak peluang untuk dia membangunkan dirinya dan menggunakan potensi yang ada. Ini semua memerlukan usaha, samada secara tersendiri atau pun dibantu oleh orang lain yang ada kemahiran. Oleh itu pendidikan berterusan boleh membantu seorang CEO untuk melaksanakan amanah yang dipukul dengan lebih cemerlang.
Untuk belajar secara berterusan, membangunkan kemahiran untuk belajar adalah sangat penting. Sila ikuti ulasannya di sini.