Membentuk Pasukan Yang Mantap

Selepas CEO menentukan bagaimana perniagaan akan menjana nilai dan struktur organisasi yang bersesuaian dengan strategi yang dipilih, perkara seterusnya ialah untuk mendapatkan orang-orang yang boleh membawa perniagaan ke arah yang dituju.

Di sinilah realiti akan memakan teori. Biasanya di awal perniagaan, fokus utama ialah untuk memulakan operasi dan membuat jualan. Di ketika itu, orang yang dibawa masuk dikira bersesuaian dengan prioriti yang ada di ketika itu. Bila perniagaan semakin berkembang, strategi mungkin berubah, ada fungsi baharu ditambah, fungsi lama mungkin menjadi semakin kecil. Adakah orang-orang yang ada boleh menanggung kehendak perniagaan yang baharu itu?

Di ketika ini, elok kita kembali kepada perumpamaan pasukan bolasepak yang digunakan semalam. Katakan di dalam tempoh 10 tahun, adakah pemain-pemain satu pasukan merupakan pemain yang sama? Saya rasa ini jarang berlaku kerana keupayaan manusia ada hadnya. Pengurus baharu mungkin mahu menggunakan susunatur pemain yang berbeza. Ini memerlukan nafas-nafas baharu diperkenalkan sekiranya pemain lama tidak boleh menyesuaikan diri dan melalukan tugasan yang baharu sesuai dengan kehendak pasukan bolasepak berkenaan.

Cabaran bagi seorang CEO ialah untuk mempastikan perniagaan mempunyai bakat-bakat yang diperlukan berdasarkan strategi yang ada. Satu kaedah yang mudah difikirkan ialah melatih semula dan mendorong pekerja-pekerja yang ada untuk memenuhi kehendak baharu itu. Senang? Ini tidak mudah. Lebih-lebih lagi bila kehendak baharu itu memerlukan orang-orang yang sedia ada belajar ilmu-ilmu baharu dan membina kemahiran baharu.

Jika dibawa masuk orang-orang baharu, bagaimana pula dengan orang-orang lama? Bolehkah mereka bekerja sebagai satu pasukan? Atau, akan wujud kem-kem pekerja berasaskan kepada kepentingan peribadi masing-masing, bukannya kepentingan perniagaan? Ini adalah satu perkara bahaya bagi perniagaan, macam kanser.

Benarlah kata-kata yang pernah disebutkan oleh Einstein “melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan pencapaian yang berbeza adalah kerja gila”. 

Mahu tidak mahu, seorang usahawan yang berperanan sebagai CEO kena mempastikan perniagaan dijalankan seperti yang dia kehendaki dan jika perlu, mengubah barisan orang-orang yang ada jika ada orang-orang yang tidak mahu berubah dan menentang perubahan yang diperlukan.

Inilah sebabnya saya telah membincangkan berkenaan perlunya seorang CEO memahami kedudukan sebenar perniagaan. Dari situ dia boleh menentukan fungsi mana yang paling kritikal dan samada orang yang mengurusnya mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan. 

Dengan kefaham yang ada, CEO boleh menentukan siapa yang harus ditukar fungsinya dan siapa yang harus diganti. Dengan mengetahui kedudukan sebenar, CEO juga boleh mengagak risiko yang akan dihadapi oleh perniagaan sekiranya ada orang yang tidak bersetuju dengan arah tuju dan strategi baharu yang dibawa oleh CEO itu.

Sebarang perubahan kepimpinan haruslah dilakukan dengan cermat walaupun kita kena terima hakikat bahawa tidak semua orang yang akan menerimanya. Di sini CEO kena pilih samada membawa masuk orang yang baharu untuk mengisi kedudukan kritikal atau pun mengisi kedudukan yang penting tetapi kurang kontraversial terlebih dahulu. 

Di dalam masa yang sama, adalah penting supaya kesemua ahli pasukan faham mengapa pertukaran ini perlu. Aktiviti komunikasi yang berterusan, menyeluruh dan ikhlas adalah penting untuk meyakinkan seramai mungkin pekerja supaya menerima perubahan.

CEO juga kena memilih orang-orang baharu yang betul-betul berkemampuan untuk melakukan perubahan ke arah menjadikan perniagaan semakin mantap dan unggul. Orang-orang baharu ini perlu diberi kefahaman berkenaan kedudukan perniagaan dan konteks kemasukan mereka. Apa yang lebih penting ialah mereka juga yakin akan halatuju dan strategi perniagaan dan mahu menyumbang bagi menjadikan perniagaan lebih cemerlang.

Proses pembentukan pasukan yang mantap ini biasanya memakan masa. Ada juga ahli pasukan yang baharu yang tidak mampu menjalakan peranan mereka seperti yang diharapkan. Ini memerlukan CEO untuk menilai semula kedudukan yang ada dan menentukan tindakan yang seterusnya.

Oleh kerana seorang CEO mentadbir dan mengurus perniagaan melalui ahli pasukannya, dia perlu disokong oleh orang-orang yang berkelayakan dan komited dengan arah tuju perniagan. Pembentukan pasukan yang mantap adalah satu dari asas penting bagi mana-mana perniagaan. Ini adalah tanggungjawab CEOnya.