Nilai yang memandu tindakan dan keputusan

Nilai-nilai yang dibincangkan di sini adalah prinsip atau pun piawaian yang digunapakai yang ada di dalam jantunghati seorang CEO di dalam membuat keputusan-keputusan yang berkaitan dengan tanggungjawab beliau di dalam menerajui organisasi. Ini penting kerana di dalam setiap keputusan akan ada kepentingan dan juga risiko yang pelbagai.

Prinsip dan piawaian yang ada di dalam jantunghati seorang CEO boleh terbentuk di sepanjang kehidupan beliau. Ini termasuk pengaruh masyarakat, keluarga, para sahabat dan juga kumpulan-kumpulan yang disertai oleh CEO itu. Tidak dinafikan agama, kepercayaan dan adat juga memainkan peranan di dalam membentuk prinsip dan piawaian yang digunakan oleh CEO.

Bagi seorang muslim, nilai di dalam jantunghatinya tentulah kena dibentuk berdasarkan 2 sumber wahyu utama, pengajaran dari Al Quran dan As Sunnah. Satu cabaran di era ini ialah untuk memahami dan menghidupkan prinsip-prinsip agama di dalam urusan harian perniagaan kerana tidak ramai agamawan yang arif dengan prinsip-prinsip berkenaan mampu membicarakannya di dalam konteks pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan.

Walaupun pada kebiasaannya prinsip dan piawaian dikaitkan dengan nilai-nilai positif seperti jujur, amanah dan mengelakkan keburukan, namun jika CEO dipengaruhi oleh prinsip dan piawaian yang salah seperti membiasakan rasuah dan salahguna kuasa, keputusan-keputusan yang dibuat oleh beliau akan merosakkan perniagaan.

Semenjak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membentuk Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG), ianya telah menjadi asas kepada pembentukan polisi negara dan pelbagai urusan masyarakat di peringkat global. Ini adalah kerana 17 matlamat yang ditetapkan itu bertujuan untuk menjadikan dunia ini lebih aman, bertambah makmur dan hasilnya diagihkan dengan adil merentas masyarakat yang penuh dengan kepelbagaian ini.

Matlamat-matlamat ini diharapkan menjadi pemangkin kepada penyelesaian banyak cabaran dan masalah asas masyarakat seperti kemiskinan, kesihatan, pendidikan, keadilan sosial, peluang pekerjaan dan alam yang lebih segar untuk kehidupan. Secara kasarnya, kesemua ini adalah selari dengan Maqasid Shariah dan perlu disokong oleh mana-mana orang yang ada kedudukan dan peluang untuk menjadikan masyarakat dan alam lebih terjaga dan dilindungi.

Di kala ini, mana-mana perniagaan tidak boleh menfokuskan kepada menjana keuntungan semata-mata. Isu-isu berkaitan dengan kemakmuran masyarakat dan kelestarian alam sudah menjadi kritikal dan tidak boleh diabaikan lagi. Oleh yang demikian, kesemua perniagaan akan dinilai dari segi sejauh mana ianya menjada alam (environment), masyarakat (social) dan juga tadbir urus (governance) di peringkat strategik, operasi dan juga penjanaan nilai. ESG adalah satu realiti yang perlu ditangani oleh seorang CEO yang bertanggungjawab.

Oleh itu perbincangan berkenaan nilai ini akan merangkumi isu-isu etika dan moral yang ada di dalam masyarakat yang boleh membantu CEO menjadi seorang peneraju yang efektif dan mampu membawa perniagaan ke tahap yang mana ianya dihormati berdasarkan prestasinya di dalam aspek-aspek keberuntungan, kemasyarakatan dan juga alami.

Budaya yang ada di dalam perniagaan dibentuk oleh nilai-nilai yang diamalkan. Ini merupakan satu aspek penting di dalam perniagaan kerana budaya yang positif akan menjadi asas kepada kecemerlangan prestasi manakala budaya negatif boleh membawa perniagaan ke belakang dan menjadikan risiko perniagaan semakin meningkat.