Semalam sekumpulan penerbit, penulis dan pembaca buku berkumpul di kediaman Dato Hussamuddin Yaacub bagi membincangkan bagaimana minat kepada membaca boleh dikembalikan di kalangan masyarakat. Disebabkan kewujudan pelbagai media baharu, minat kepada membaca semakin luntur dan ini boleh membawa kesan jangka panjang yang merunsingkan.

Rumusan kepada pertemuan ini ialah penubuhan Gerakan Komuniti Keluarga Membaca yang mana saya diamanahkan untuk menjadi pengerusi. Di samping naungan yang diberikan oleh Dato Hussamuddin, rakan saya Dato Roslan Abd. Hamid juga akan menjadi penggerak yang penting.
Kami belum memperincikan apakah tindakan-tindakan seterusnya gerakan massa ini. Namun, apa yang jelas semalam ialah komuniti keluarga membaca ini bukan bertujuan untuk menjual buku. Itu masih menjadi tanggungjawab pemain-pemain industri termasuk penerbit dan penulis.
Apa yang kami mahu promisikan ialah minat membaca di kalangan ahli masyarakat dengan mengambil kira realiti yang ada termasuk kewujudan pelbagai platfom ilmu yang mempunyai pelbagai sifat. Semalam saya menyebut, “Di kala ayat Al-Quran pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW, berapa ramaikah umat Islam di kala itu yang boleh membaca dan menulis?”. Oleh yang demikian, kalimah اقْرَأْ kena difahami di dalam konteks yang lebih meluas dan disesuaikan dengan realiti semasa.
Sudah tentu gerakan ini memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak, sesuai dengan sifatnya sebagai gerakan massa. InsyaAllah kami akan memperjelaskan lagi objektif, pelan tindakan dan usaha yang bakal dibuat selepas ini. Marilah kita sama-sama menanam sifat rajin membaca di kalangan ahli keluarga kita semua.