Buku Old Money New Money selamat dilancarkan pada 26 Mei yang lalu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Datuk Azman Haji Adnan yang merupakan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.
Di samping buku ini, buku Guru Bangsa Usahawan juga telah dilancarkan secara bersama. Buku ini adalah sebuah buku yang merakamkan perjalanan perniagaan Dato’ Hussamuddin Yaacub, pengasas kumpulan media Karangkraf. Ianya ditulis oleh Dato Roslan Abdul Hamid.

Sebelum pelancaran buku-buku terbitan JTX yang merupakan sebuah inprint Jejak Tarbiah, satu forum ringkas diadakan. Saya telah menemu ramah Dato’ Hussamuddin berkenaan beberapa aspek buku Guru Bangsa Usahawan seperti apakah nilai-nilai yang dipegang beliau sehingga berjaya menubuhkan sebuah kumpulan penerbitan yang unggul di negara ini.
Sifat “bekerja kerana Allah” menjadi asas pegangan orang yang lebih mesra dipanggil Dato’ Husam sahaja ini. Di samping itu beliau juga fokus kepada kelebihan yang ada agar tumpuan yang cukup diberikan di ketika perniagaan dibina.

Dato Roslan juga sempat berkongsi beberapa perkara berkenaan keusahawanan di sebalik penerbitan buku dan juga detik-detik menarik beliau menemu ramah Dato’ Hussam semasa bahan-bahan buku beliau dikumpul.
Kedua-dua buku ini menambahkan lagi bilangan buku-buku perniagaan dan keusahawan di dalam bahasa Melayu yang merupakan matlamat utama JTX ditubuhkan.