Penilaian prestasi ahli pasukan bertujuan untuk menilai pencapaian, perkembangan dan juga potensi mereka. Walaupun ianya biasalah dibuat di akhir tahun bersama penilaian pencapaian perniagaan, penilaian pencapaian ahli pasukan boleh dibuat secara berkala bersama penilaian strategi. Jika prestasi mereka cemerlang, perniagaan juga kena cemerlanglah. Betul tak?
Sekiranya kecemerlangan ahli pasukan tidak diserlahkan melalui kecemerlangan perniagaan, ada jurang di antara asas kepada penilaian ahli pasukan dengan penilaian prestasi perniagaan. Ini tidak boleh dibiarkan melebar kerana ahli pasukan akan fokus kepada apa yang lebih memanfaatkan mereka seperti kenaikan pangkat, kenaikan gaji dan juga bonus.
Apa yang mahu dicapai ialah keselarasan di antara prestasi individu dengan prestasi kumpulan dan juga perniagaan secara keseluruhan. Oleh itu, menyusun indikator prestasi utama di ketiga-tiga perspektif ini merupakan asas kepada model penilaian prestasi yang perlu diwujudkan.
Jika semuanya selaras, penlaian prestasi perniagaan tentunya akan menjadi komponen penilaian prestasi ahli pasukan. Ini bermakna data-data dan maklumat-maklumat yang dikumpulkan di dalam proses penilaian prestasi perniagaan boleh dijadikan input kepada penilaian prestasi ahli pasukan. Jadi, setiap kali prestasi penilaian dilakukan, termasuk di dalam proses penilaian strategi, penilaian prestasi ahli pasukan juga boleh diadakan sekali.
Lebih kerap ahli pasukan menerima maklum balas berkenaan prestasi kerja mereka, lebih banyak peluang bagi mereka untuk belajar dan menjadi lebih cemerlang. Apa yang sudah berada di landasan yang betul boleh digiatkan lagi manakala mana yang perlu diperbaiki boleh diperbetulkan dengan segera.
Oleh yang demikian, perniagaan perlu menyusun proses-proses penilaian ini agar ianya selari dan memudahkan semua pihak yang terlibat. Setiap penemuan boleh digunakan di dalam pelbagai proses yang lain yang menjurus ke arah menjadikan perniagaan lebih cemerlang.