Oleh kerana strategi dilaksanakan oleh ahli-ahli pasukan di dalam perniagaan, sebarang maklumat penting berkenaan strategi hendaklah disalurkan kepada mereka berdasarkan keperluan. Ini akan membolehkan mereka memahami kemajuan pelaksanaan strategi, pencapaian dan juga halangan-halangan yang telah dikenal pasti.
Maklumat dan maklum balas yang mereka terima akan membantu mereka untuk memberikan respon yang setara. Jika pelaksanaan strategi berjalan dengan baik dan menunjukkan hasil positif, ahli pasukan kita boleh meneruskan pelbagai tindakan yang sudah dirancang. Sebaliknya, jika hasilnya meleset dan pelbagai halangan sudah dikenal pasti, ahli pasukan kita perlu menilai semula perancangan dan tindakan mereka agar pelaksanaan strategi kembali ke landasan yang betul.
Maklum balas kepada ahli pasukan boleh dibuat di dalam 3 bentuk:
- Data dan maklumat kasar yang disalurkan secara masa sebenar untuk mereka proses bagi menjadikan data dan maklumat berkenaan lebih tersusun dan boleh ditafsir mesejnya;
- Data dan maklumat di proses dan disaring dahulu sebelum dikongsikan dengan ahli pasukan bila ada keperluan manakala mesej-mesej yang berkenaan dibincangkan dengan lebih tersusun dengan mengambil kira pandangan pihak pengurusan; dan
- Perbincangan berkala seperti setiap suku atau setengah tahun berdasarkan data, maklumat dan pemerhatian yang lebih menyeluruh serta cadangan-cadangan tindak balas yang sudah ditetapkan.
Kekerapan perkongsian data dan maklumat serta setakat mana data dan maklumat dikongsikan biasanya bergantung kepada peranan dan kedudukan ahli-ahli pasukan di dalam perniagaan. Mereka yang ada tanggungjawab pengurusan dan kepimpinan biasanya mendapat maklumat yang lebih berbanding dengan ahli pasukan yang menjalankan fungsi-fungsi operasi.
Maklum balas dan perkongsian pandangan ini seharusnya menjana kefahaman yang lebih mendalam berkenaan strategi dan melahirkan tindak balas positif yang menjadikan pelaksanaan strategi lebih berkesan.