Bentuk Indikator Prestasi Utama

Bagi mana-mana strategi yang dibentuk, ada pelbagai jenis data dan maklumat yang boleh memberikan gambaran berkenaan setakat mana strategi telah dilaksanakan dan sejauh mana pencapaiannya telah mendatangkan hasil. Untuk memudahkan pencapaian strategi di nilai, indikator-indikator prestasi utama (key performance measures – KPI) dipilih bagi memudahkan proses penilaian strategi.

Di antara ciri-ciri yang digunakan untuk memilih KPI ialah:

  • KPI mestilah dipilih dari indakator-indikator yang relevan dan mewakili apa yang mahu dinilai
  • Kesan atau impak KPI mestilah besar dan mempunyai pengaruh yang tinggi ke atas pencapaian satu-satu strategi
  • Secara keseluruhan, gabungan KPI yang dipilih memberikan gambaran yang menyeluruh ke atas kesan strategi ke atas perniagaan dan pencapaian perniagaan itu sendiri

Satu lagi perkara penting berkenaan KPI ialah samada ianya menilai usaha yang dilaksanakan atau pun hasil yang diharapkan. KPI yang berbentuk penilaian usaha merupakan indikator awal (leading indicator) bagi pelaksanaan strategi. Sebaliknya, KPI yang menilai hasi adalah indikator terkemudian (lagging indicator).

Keseimbangan di antara indikator-indikator awal dan terkemudian ini penting kerana perniagaan perlu tahu tahap pelaksanaan dan juga tahap pencapaian strategi. Sekiranya apa yang dinilai hanyalah di satu peringkat sahaja, gambaran yang diberikan oleh proses penilaian strategi ini mungkin tidak lengkap dan sebarang keputusan yang dibuat mungkin kurang kesannya.

Kaitan di antara data-data dan fakta-fakta yang digunakan mestilah diperiksa dengan teliti agar ianya benar-benar membawa maksud seperti yang difahami oleh pihak pengurusan. Kesilapan memahami data dan fakta juga boleh menjadikan penilaian yang dibuat tidak tepat.