Biasanya di dalam pembentukan strategi, elemen-elemen berikut ditentukan:
- Misi: Apakah tujuan perniagaan ditubuhkan
- Visi: Ke mana arah tuju perniagaan di dalam tempoh masa yang tertentu
- Objektif: Sasaran yang harus dicapai bagi membolehkan perniagaan mencapai visinya
- Pelan tindakan: Langkah-langkah terperinci bagi mencapai setiap objektif yang ditetapkan
- Tanda aras pencapaian: Bagaimana perniagaan berkenaan tahu pencapaiannya memenuhi kehendak strategi

Pembentukan elemen-elemen strategi di atas mengambilkira pasaran yang mahu dimasuki, tahap persaingan di dalam pasaran, nilai unik yang mahu ditawarkan dan keupayaan untuk melaksanakan strategi termasuk modal insan dan keupayaan kewangan.
Kesilapan di dalam membaca arah pasaran dan membentuk strategi yang tidak bersesuaian akan memberi kesan yang amat besar kepada perniagaan. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam bahagian pengurusan risiko nanti.
Usahawan juga harus ingat memasuki pasaran baru tidak semestinya memberikan kelebihan yang berkekalan. Jika ruang itu satu ruang yang baru (ruang putih), pesaing mungkin akan menyedarinya dan menggunakan kekuatan mereka untuk menjadi lebih unggul. Walau bagaimana pun, jika ia adalah ruang manis yang mana pesaing dengan sedar menghindarinya kerana sebab kos atau alasan lain, kemungkinan perniagaan kita untuk mengekalkan keunggulannya adalah lebih tinggi.
Ada 2 pendekatan pembentukan strategi. Ada yang memilih untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan dalaman dan dari situ mencari peluang dan memahami risiko di luar sana. Inilah pendekatan di sebalik proses S.W.O.T. (Strength, Weakness, Opportunity, Threat). Sebaliknya, ada yang memilih untuk memahami peluang dan risiko di luar dan membina kekuatan dan menguruskan kelemahan dalaman. Ianya dikenali dengan T.O.W.S. Kaedah kedua ini lebih dekat dengan pasaran yang sedia ada dan memudahkan proses untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan di dalam pasaran.
Di peringkat ini juga model perniagaan ditetapkan. Ini merangkumi susunatur bagaimana proses pembuatan atau penjanaan nilai sampai kepada pelanggan pada harga jualan yang sesuai dan kos yang disasarkan bagi menjadikan perniagaan kompetitif dan lestari. Model perniagaan juga kena realistik dan mengambil kira kemampuan perniagaan dari segi dana, modal insan, teknologi dan akses kepada pembekal tertentu.
Walaupun berada di dalam industri yang sama, beberapa perniagaan boleh mempunyai model perniagaan yang berlainan. Contohnya, di dalam pembangunan hartanah, ada pengusaha yang membina rumah kediaman dan ada pula membina bangunan komersial. Kedua-duanya memerlukan model perniagaan yang berlainan.
