CEO Menutup Jurang Bisnes

Apabila kita mahu mencapai sesuatu, tentunya ada jurang di antara kedudukan semasa dengan tujuan atau sasaran yang mahu dicapai itu. Tugas seorang CEO adalah untuk menutup jurang berkenaan dan membawa bisnes ke hadapan.

Semakin tinggi sasaran kita, tentunya jurang yang ada akan menjadi lebih besar. Oleh itu, sasaran kena diukur dengan realiti yang ada agar ianya lebih munasabah untuk diusahakan berdasarkan kemampuan yang ada dengan mengambilkira bantuan yang kita boleh perolehi dari pihak luar.

Jurang-jurang yang dihadapi boleh datang dari pelbagai aspek pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan. Jarang ada perniagaan yang berada di dalam keadaan yang stabil untuk tempoh yang lama kerana untuk maju ke hadapan, sasaran-sasaran dan tujuan-tujuan baharu perlu ditetapkan dan diusahakan. Malah, kewujudan jurang menunjukkan perniagaan itu hidup dan mahu mencapai kedudukan yang lebih baik di masa hadapan.

Untuk menutup jurang di antara kedudukan semasa dan sasaran yang ada, objektif-objektif yang jelas perlu ditentukan sebelum tindakan yang bersesuaian dipilih untuk dilaksanakan

Jangan takut menghadapi jurang di hadapan kita tetapi jujurlah di dalam memilih tindakan dan berusahalah dengan gigih. Jangan berharap bisnes ini sesuatu yang mudah dan semuanya selesai dengan dua tiga langkah sahaja.

Menilai sejauh mana jurang telah ditutup juga kena dilakukan secara jujur dan penuh amanah. Kita tidak boleh memilih data-data, maklumat dan analisa yang baik-baik sahaja dan mengenepikan yang sebaliknya. Lagi jelas kedudukan sebenar dengan sasaran atau tujuan, lebih jelas juga usaha yang perlu dilakukan agar peluang yang ada dapat diambil atau risiko yang tibu boleh ditangani dengan sewajarnya.

Apabila satu jurang ditutup, akan ada jurang-jurang baharu yang perlu dihadapi oleh CEO. Itulah adat bisnes.